Perak Hari Ini

DS Zambry Yakin Pemilihan MT, Peringkat Bahagian Berjalan Lancar

PERAK TODAY 1

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyuarakan keyakinan proses pemilihan Majlis Tertinggi (MT) dan peringkat bahagian yang dijadual esok akan berjalan dengan lancar.

Katanya, proses pemilihan kali ini melibatkan satu mekanisme baru apabila semua ahli-ahli di peringkat akar umbi akan memilih pemimpin di peringkat MT dan bahagian masing-masing.

“Saya menjangkakan mesyuarat serta pemilihan kali ini akan berjalan lancar seperti minggu lalu di mana tiada masalah yang serius timbul.

“Saya tidak mengatakan tidak akan ada masalah yang timbul, namun kemungkinan di beberapa tempat akan berlaku sedikit masalah kerana pemilihan ini melibatkan sebuah parti yang mempunyai kira-kira tiga hingga empat juta ahli di seluruh negara,” jelasnya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Mohd Amar Mohd Azizi, mangsa tembakan yang kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Bainun, di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Zambry turut berharap agar ahli menganggap segala permasalahan yang timbul sebagai proses untuk parti memperbetulkan kelemahan yang sedia ada.

“Kita mesti belajar menerima kelemahan dan berusaha menyelesaikannya dengan cara berhemah kerana semua masalah yang timbul merupakan proses pembelajaran buat kita semua.

“Kadang-kala permasalahan yang berlaku mampu mengukuhkan mekanisme proses pemilihan UMNO dan saya pasti, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin,” ujar Zambry yang turut memberitahu akan melakukan pemantauan terhadap proses pemilihan peringkat UMNO Bahagian Lumut.

Sementara itu, beliau juga menyatakan keyakinan tinggi terhadap calon Perak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.

“Dengan sokongan padu semua ahli, saya yakin beliau akan memenangi jawatan tersebut seperti pada pemilihan yang lalu.

“Saya juga meletakkan harapan tinggi kepada calon MT dari Perak untuk memenangi jawatan yang ditawarkan itu,” katanya lagi.

Zambry turut menyeru kepada semua calon yang bertanding agar tidak membawa diri atau keluar parti jika tidak memenangi jawatan yang dipertandingkan kerana pemilihan ini perlu dilihat dalam konteks kekeluargaan.

“Selepas berakhirnya pemilihan, kita kembali semula kepada semangat kekeluargaan sekaligus menjalani kehidupan dalam keadaan harmoni,” tambah beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");