Perak Hari Ini

Pemilihan Untuk UMNO Terus Relevan, Jadi Tunjang Kekuatan BN: Ahmad Zahid

zahid hamidi datoh

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata transformasi yang dilaksanakan UMNO pada pemilihan kali ini dapat memastikan parti itu terus kekal relevan dan menjadi tunjang kepada kekuatan Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, Naib Presiden UMNO itu menegaskan adalah tidak mustahil jika sistem itu dipinda atau ditambahbaik pada pemilihan akan datang.

“Transformasi sistem pemilihan ini memberi kuasa kepada perwakilan akar umbi di seluruh negara untuk membuat pilihan bukan sahaja di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan bahagian tetapi juga sayap UMNO pada Sabtu lalu.

“Pada hemah saya, ia merupakan transformasi terbaik yang dilaksanakan oleh UMNO, setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bagan Datoh yang berlangsung di Wisma UMNO Bagan Datoh, hari ini.

Sementara itu, beliau yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh, berkata sebarang keputusan yang akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO harus diterima dengan lapang dada dan fikiran yang terbuka.

“Terima kasih kepada lima lagi calon Naib Presiden UMNO yang memberi kerjasama baik dan sedia berkempen dalam suasana kekeluargaan.

“Saya juga berharap keputusan yang akan diumumkan nanti merupakan keputusan terbaik yang bukan sahaja diingini oleh peringkat akar umbi tetapi juga sebagai kesinambungan kepada institusi dan barisan kepimpinan UMNO secara keseluruhannya,” tegas Ahmad Zahid lagi.

Mengulas isu populariti, Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datoh berharap para perwakilan dapat menterjemahkannya dalam bentuk sokongan pada pemilihan kali ini.

Tambahnya, pemilihan itu juga akan meletakkan seseorang calon berada pada tahap yang dikehendaki peringkat akar umbi serta barisan kepimpinan yang dapat meneruskan kesinambungan serta survival UMNO.

“Survival UMNO bukan sekadar Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi lebih daripada itu yakni menentukan parti terus kekal relevan dan proses peremajaan dapat dilakukan kerana ia merupakan tunjang dan tulang belakang kepada BN,” jelasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");