Jenayah

Pencuri terperangkap dalam kedai

pencuri terperangkap

PONTIAN- Cubaan seorang lelaki untuk mencuri di sebuah kedai telefon bimbit di Taman Mas Merah Pekan Nenas di sini, malam kelmarin gagal selepas perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Pemilik kedai, Low Boon Tat, 35 menyedari kehadiran perompak tersebut selepas melihat rakaman CCTV yang dipasang dari kedai terus ke telefon bimbitnya.

“Saya sangat terkejut melihat rakaman CCTV di telefon bimbit yang memaparkan seorang lelaki memakai topi berada di dalam kedai sedang menyelongkar laci.

“Memang menjadi kebiasaan, rakaman CCTV kedai akan dilihat di rumah selepas ditutup jam 9 malam.

Dia kemudiannya menghubungi pihak polis dan segera meminta bantuan penduduk untuk menangkap pencuri di dalam kedai yang terletak tidak jauh dari rumahnya itu.

“Peniaga di sini sudah beberapa kali dikejutkan dengan kejadian perompak memecah masuk melalui siling,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebaik sahaja tiba di kedai kira-kira jam 10 malam, peniaga di sebelah kedainya itu bertindak memeriksa bumbung siling mereka.

“Tidak lama selepas itu anggota polis dari Balai Polis Pekan Nenas tiba, penduduk bersama peniaga di sini membantu menangkap pencuri itu.

“Berdasarkan rakaman CCTV dari telefon bimbit saya, pencuri cuba memanjat siling bumbung kedai.

“Saya percaya, pencuri cuba untuk meloloskan diri setelah menyedari kehadiran penduduk taman perumahan yang berkumpul di hadapan kedai,” katanya.

Pemilik kedai runcit, Mohd Erwan Johari, 30 berkata, pencuri tersebut cuba bersembunyi di atas bumbung siling kedai selama hampir dua jam.

“Terdapat lima buah kedai sederet di sini, setiap kedai diperiksa oleh penduduk dan anggota polis.

“Kira-kira jam 12 tengah malam, pencuri itu ditemui penduduk dan anggota polis dalam keadaan keletihan ketika menyorok di bawah katil bersebelahan tandas di belakang kedai runcit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan, Jokhiri Abdul Aziz berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu, tujuh anggota dari Balai Polis Pekan Nenas ke lokasi kejadian bagi menangkap suspek yang
masih berada di dalam kedai.

“Suspek yang berusia 23 tahun itu ditemui bersembunyi di bawah katil di sebuah kedai runcit yang berada selang dua kedai dari kedai telefon bimbit tersebut.

“Lapan telefon bimbit, sebuah broadband dan 15 keping kad memori ditemui di dalam beg suspek.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 kanun keseksaan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");