Jenayah

Penduduk tepi sungai Cameron Highlands dipindah

cammeron

TNB: Pelepasan air empangan ikut SOP Keadaan kenderaan yang rosak akibat banjir lumpur yang berlaku di Bertam Valley, Cameron Highlands. – Foto Sinar Harian oleh NORFARHIZA MOHD ATTAR:-

CAMERON HIGHLANDS – Penduduk yang tinggal berhampiran sungai di sini akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat dalam masa terdekat bagi mengelak daripada ditimpa banjir kilat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel berkata, langkah itu akan dilakukan segera memandangkan kejadian banjir kilat dan banjir lumpur boleh berlaku bila-bila masa lebih-lebih lagi jika hujan lebat berpanjangan berlaku.

Palanivel yang juga anggota Parlimen Cameron Highlands berkata, perkara itu telah dibawa ke mesyuarat Kabinet dan mendapat persetujuan kerajaan.

“Kita akan cari tanah untuk mereka (penduduk terlibat) dan bina penempatan yang sesuai. Tinggal di tepi sungai tidak selamat,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan bencana di Lembah Bertam di sini hari ini.

Kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet di sini pada 1 pagi Rabu lalu mengorbankan tiga nyawa selain memusnahkan 80 kediaman penduduk dan kira-kira 100 kenderaan. Seorang mangsa masih hilang.

Palanivel berkata, kementeriannya akan memohon kerjasama daripada kerajaan negeri untuk membantu proses pemindahan penduduk.

Beliau menarik perhatian bahawa sebahagian penempatan yang dibina di tepi sungai tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa dan ini menyukarkan tindakan diambil apabila berlaku bencana.

Dalam pada itu beliau berkata, peruntukan awal RM100,000 telah diluluskan Pejabat Jurutera Daerah untuk kerja membersih dan membaik pulih kawasan bencana yang dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Ditanya mengenai peruntukan RM40 juta yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 semalam, Palanivel berkata ia akan digunakan untuk mendalam dan melebarkan Sungai Bertam sepanjang tiga kilometer.

“Proses ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun,” katanya.

Beliau turut menggesa Tenaga Nasional Berhad supaya membuat hebahan berhubung pelepasan air empangan beberapa jam lebih awal, termasuk membuat hebahan media bagi membolehkan penduduk berpindah lebih awal.

Beliau turut mengumumkan pemberian bantuan berjumlah RM100,000 melalui Yayasan Membina Masyarakat kepada penduduk yang terjejas dalam kejadian itu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");