Sukan Hari Ini

Pengadil pula isytihar harta

HAMIDIN

SELEPAS pemain dan pegawai pasukan Liga Malaysia (Liga-M) diwajibkan untuk mengisytiharkan harta berkuat kuasa Julai lalu, kini tiba giliran pengadil perlawanan untuk berbuat demikian bagi mengatasi kegiatan mengatur perlawanan liga bola sepak tempatan mulai 2014.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, langkah ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Integriti Pusat FAM yang dihadiri Pengerusi dan
Setiausaha Jawatankuasa Integriti Peringkat Negeri.

“Keputusan ini diambil sebagai langkah awal dan berterusan FAM menangani isu mengatur perlawanan yang mana kita telah membuat keputusan sama kepada pemain dan pegawai pasukan sebelum ini.

“Pengadil juga perlu mengisytiharkan harta dalam borang yang ditetapkan dan ia mendapat sokongan penuh dari ahli-ahli Jawatankuasa Integriti,” katanya selepas hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Integriti Pusat FAM yang dipengerusikan, Tan Sri Aseh Che Mat di Putrajaya, semalam.

Jelasnya, mesyuarat dihadiri 15 ahli gabungan persatuan negeri, turut membuat beberapa keputusan bersama bagi memartabatkan sukan bola sepak.

“Mesyuarat bersetuju agar mesyuarat seumpama ini perlu diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk mendapatkan maklumat lebih tepat dan lanjut situasi yang berlaku di peringkat negeri.

“Kita juga memutuskan laporan jawatankuasa peringkat negeri perlu dihantar kepada pusat (FAM) tiga bulan sekali untuk dikumpulkan maklumat atau sebulan sekali bergantung situasi semasa

“Bengkel kesedaran di kalangan pemain dan pengurusan juga antara inti pati dipersetujui bersama yang akan dilaksanakan,” katanya.

Hamidin turut menjelaskan, jawatankuasa bersetuju menubuhkan skuad pemantauan dari FAM, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi setiap perlawanan yang difikirkan mustahak.

“Skuad akan memantau perlawanan yang dilihat penting, langkah ini diambil sebagai usaha berterusan membanteras gejala menjual perlawanan.

“Selain itu perjumpaan kerap juga perlu kita lakukan kerana ia terbukti berkesan dalam usaha menyalurkan maklumat,” katanya.

Mengulas pandangan dari ahli gabungan yang menyatakan perbezaan gaji di kalangan pemain mendorong berlakunya gejala rasuah, Hamidin menafikan perkara tersebut malah keutamaan isu ini terletak kepada pengurusan pasukan.

“Situasi ini normal dalam liga profesional di mana akan berlaku jurang perbezaan dalam kewangan yang besar namun peranan pengurusan pasukan adalah penting kerana jika bayaran gaji atau perkara yang sewajarnya berjalan lancar pastinya ruang untuk berlakunya gejala menjual perlawanan tidak akan wujud.

“Tidak semestinya untuk menjadi juara perlu memiliki pemain yang berharga kerana wang bukan segala-galanya untuk menjulang trofi, pemilihan pemain yang seimbang dengan sokongan peminat pasti akan membantu pasukan.

“Tanggapan mengatakan sekiranya sesebuah pasukan yang kalah terlibat dalam penjualan perlawanan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");