Perak Hari Ini

Pengusaha Restoran Rugi RM20,000 Ditipu Ejen Pembekal Pekerja

PERAK TODAY 1

Seorang pengusaha restoran makanan Korea terpaksa berputih mata selepas ditipu ejen pembekal pekerja asing yang membabitkan kerugian hampir RM20,000 kira-kira tiga tahun yang lalu.

Pemilik restoran Onix Jun Sdn Bhd yang berasal dari Korea Selatan, Kang Chang Seon memberitahu dia memasukkan wang dalam akaun syarikat tersebut yang beroperasi di Ipoh untuk mendapatkan dua pekerja berbangsa Kemboja.

Menurutnya, selepas transaksi sebanyak RM17,000 dibuat kepada syarikat berkenaan, individu yang mengendalikan urusan berkenaan yang dikenali sebagai Mr Alan Loo memintanya menjelaskan lagi bayaran RM3,600 bagi urusan pelepasan imigresen kerana setiap seorang pekerja memerlukan RM1,800.

“Mengikut perjanjian, syarikat berkenaan akan menyerahkan dua orang pekerja asing selepas pembayaran dibuat namun hanya seorang pekerja dihantar iaitu selepas beberapa bulan.

“Selain itu, pekerja tersebut yang dikenali sebagai Riang sempat bekerja selama 20 hari sahaja kerana berkelakuan tidak memuaskan dan menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halamannya,” katanya lagi.

Tambah Chang Seon, dia kemudian menghantar Riang kembali ke agensi tersebut untuk mendapatkan pengganti untuk bekerja dengannya.

“Selepas 45 hari, barulah agensi terbabit menyerahkan seorang lagi pekerja asing warga Kemboja yang hanya bekerja hampir dua bulan dan kemudian melarikan diri.

“Saya juga mendapati pekerja pertama (Riang) tidak dihantar pulang oleh agensi itu walaupun enam kali diminta berbuat berkenaan sebaliknya dihantar bekerja sebagai pembantu rumah di tempat lain di Malaysia,” jelas Chang Seon.

Katanya lagi, agensi berkenaan sentiasa mengeluarkan kenyataan bohong dan mengelak apabila soalan yang sama dibangkitkan.

“Hakikatnya, pekerja pertama yang diserahkan oleh ejen berkenaan didaftarkan di bawah nama syarikat saya, sekaligus bermakna dia hanya dibenarkan bekerja di restoran saya sahaja.

“Tetapi ejen itu membenarkan bekas pekerja saya bekerja di tempat lain dan apa sahaja yang berlaku kepadanya sudah pasti akan mengganggu pengurusan perjalanan restoran,” tegas beliau lagi dengan nada kesal.

Jelasnya lagi, apabila beliau menelefon individu tersebut, tiada jawapan diterima sehingga sekarang dan agensi yang terletak di Fair Park dekat Ipoh itu juga tidak dapat dihubungi.

Menyedari ditipu, beliau membuat dua laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada 27 Oktober dan 21 November 2010 berhubung tindakan kedua-dua pekerja Kemboja yang mendatangkan masalah kepada pihaknya.

“Saya juga turut mendapatkan khidmat guaman untuk menyelesaikan masalah ini namun tempoh prosedur untuk menyelesaikan kes sebegini memerlukan masa yang lama,” katanya lagi.

Chang Seon menjalankan perniagaan restoran lebih enam tahun lalu selepas menetap lebih 13 tahun di negara ini dan turut menyatakan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.

PERAK TODAY 2

“Walaupun kejadian malang ini berlaku, namun hasrat saya untuk terus menjalankan perniagaan di sini tidak terbantut malah saya mahu jadikan Malaysia sebagai rumah kedua,” katanya lagi.

Chang Seon juga berharap agar perkara sebegini tidak berlaku kepada mana-mana usahawan atau orang asing lain yang menjalankan perniagaan.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan ejen pembekal pekerja asing yang sering menipu untuk mengaut keuntungan.

Tambah Mohd Rawi, agensi itu menipu pengusaha restoran tersebut dengan mengatakan permit tukang masak dan pembantu rumah adalah sama, walhal ia tidak benar sama sekali.

“Sebenarnya, permit tukang masak dan pembantu rumah adalah berbeza di mana pembantu rumah, semua perbelanjaan kemasukannya perlu ditanggung oleh pihak yang inginkan khidmat mereka.

“Dalam kes ini, agensi pekerjaan telah menipu Chang Seon dan saya berharap perkara ini tidak akan berlaku kepada orang lain.

“Kita akan menulis surat kepada pihak imigresen bagi memantau serta mengambil tindakan terhadap agensi berkenaan yang sering menimbulkan masalah kepada pelanggan mereka,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");