Isu Panas

Peniaga Bukan Islam Di Kelantan Tidak Puas Hati Diminta Hadir Seminar Perniagaan

design2013New

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) telah menimbulkan satu lagi kontroversi di kalangan orang bukan Islam apabila kelompok peniaga berkenaan “dijemput” mengambil bahagian dalam seminar tentang menjalankan perniagaan mengikut cara Islam, minggu lepas.

Peserta mendakwa mereka bukan hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM60, malah terdapat juga keadaan yang mana lesen perniagaan mereka tidak akan diperbaharui jika mereka tidak menghadiri acara tersebut.

Kehadiran adalah tidak memberangsangkan dan telah meninggalkan rasa tidak puas hati di antara mereka yang mengambil bahagian dalam seminar yang diadakan pada Rabu.

Difahamkan seminar berkenaan adalah yang pertama daripada dua seminar, dengan seminar kedua yang dijadualkan pada Isnin ditangguhkan ke satu tarikh lain.

“Saya dapati pertemuan itu membuang masa. Penganjur mengulangi tentang apa yang patut dan tidak patut dibuat dalam menjalankan perniagaan,” kata seorang pengendali salon yang enggan namanya disiarkan.

Katanya, beliau tidak faham mengapa mereka terpaksa membayar yuran RM60 dan apakah objektif sebenar seminar itu.

Pengendali salon itu berkata beliau menghadiri seminar kerana bimbang permit perniagaan tidak akan diperbaharui jika tidak melibatkan diri.

Tambahnya, beliau faham pihak majlis itu mahu melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam masyarakat perniagaan tetapi merasakan ia tidak seharusnya melibatkan golongan bukan Islam.

Sebelum ini, golongan peniaga Cina telah mengadu terhadap beberapa sekatan lain yang dikenakan oleh Majlis; seperti sekatan terhadap tukang gunting rambut menerima pelanggan berlainan jantina, mengasingkan lelaki dan wanita di pawagam dan kaunter pasar raya, mengharamkan penjualan tiket loteri dan menyekat penjualan minuman keras.

Satu surat pekeliling majlis, pada minggu lepas diedarkan kepada masyarakat peniaga menyatakan bahawa kerajaan mahu perniagaan dijalankan menggunakan “Konsep 5K” (Keilmuan, Kepatuhan, Kebajikan, Kebersihan dan kesejahteraan) yang merupakan perniagaan cara Islam.

Presiden MPKB Fauzi Mat berkata, beliau tahu mengenai seminar ini tetapi tidak pasti mengenai butir-butir dan objektif serta yuran pendaftaran RM60.

“Saya perlu menyemak dengan setiausaha majlis perbandaran,” katanya, sambil menambah beliau akan mendapatkan maklumat terkini mengenai siri seminar ini.

Ketua Pemuda MCA Kelantan, Gan Han Chuan berkata tidak ada sebab untuk melibatkan golongan bukan Islam dalam pengurusan perniagaan majlis perbandaran.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");