Perak Hari Ini

Perak Pertimbang Cadangan Wujud PDK Di Setiap DUN: DS Zambry

zambry raye pangkor

Kerajaan Perak sedang menimbang cadangan untuk menubuhkan pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Kita akan melihat dari segi keperluan untuk mewujudkan PDK di setiap DUN dengan mengambil kira bilangan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di sesuatu kawasan itu.

“Ianya merupakan komitmen kerajaan negeri untuk membantu golongan tersebut,” katanya.

Sementara itu, dua PDK lagi iaitu di Kampar dan Sri Manjung katanya, turut beroperasi khusus untuk menguruskan keperluan OKU.

“Setakat ini, sebanyak 38 PDK beroperasi di Perak yang melibatkan 1,202 golongan OKU dan kemungkinan akan ada pertambahan apabila pusat baru diwujudkan kelak,” ujar Zambry lagi.

Terdahulu, Zambry merasmikan Pusat Industri Kecil Sederhana (IKS) dan Jenama Produk Pengeluaran PDK Trolak Selatan di Pusat IKS PDK Semai Bakti Trolak Selatan, dekat Sungkai, hari ini.

Hadir sama, Yang Di Pertua Badan Amal dan Usaha Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Saripah Zulkipli.

Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif yang diambil BAIDURI dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dalam usaha membantu golongan OKU berdikari.

Melalui kerjasama ini katanya, khidmat nasihat dan penyediaan barangan untuk pasaran IKS dapat ditawarkan kepada PDK di negeri itu.

“Industri  yang diperkenalkan ini cukup menarik dan dengan kualiti produk yang baik, saya berharap ianya akan menjadi contoh kepada PDK lain di seluruh negara,” katanya.

Difahamkan, PDK Trolak merupakan PDK pertama di negara ini yang mempunyai IKS sendiri dan pekerjanya pula terdiri daripada golongan OKU.

Ujar Zambry lagi, ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan elemen pendidikan kepada golongan OKU kerana di sebalik kecacatan itu, mungkin mereka mempunyai potensi besar untuk berjaya.

“Pastinya ada potensi besar dalam diri mereka kerana setiap manusia itu dilahirkan dengan potensi yang tersendiri,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, ramai golongan OKU kini berjaya menjadi orang penting dengan sumbangan yang tersendiri dalam bidang masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");