Perak Hari Ini

Perak Tuan Rumah Kongres Penyair Sedunia Ke-33

zambry kk

Perak terus menjadi tumpuan para penyair tempatan dan antarabangsa apabila buat julung-julung kalinya terpilih sebagai tuan rumah kepada Kongres Penyair Sedunia (WCP) Ke-33 yang dirasmikan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, malam tadi.

Dalam ucapan perasmiannya, Zambry turut menzahirkan rasa bangga apabila lebih 200 penyair dari 29 buah negara di seluruh dunia mengambil bahagian, sekaligus memeriahkan lagi kongres yang bertemakan 1Dunia Menerusi Puisi.

Katanya, kongres itu dilihat mampu mewujudkan perkongsian idea antara para penyair tempatan dan antarbangsa.

“Acara ini juga dapat mempromosikan bahasa Melayu sebagai lingua franca Tenggara Asia yang mampu dikuasai oleh negara-negara jiran.

“Kelantangan berpuisi bukan sahaja dapat dikongsi dari segi keunikan bahasa, budaya, sastera dan agama malah ia juga mampu mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dengan negara luar,” katanya lagi.

Tambah Zambry lagi, acara itu turut mempromosikan Perak sebagai tempat pelancongan yang kaya dengan sejarah tersendiri.

“Suara dan bahasa puisi merentasi tujuh benua sebelum penciptaan internet dan saya yakin bahawa puisi akan terus memainkan peranannya sebagai penghubung bagi mengeratkan persahabatan antara sesebuah negara di dunia,” ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Penaung World Academy of Arts and Culture (WACC), Dr Yu Hsi, Presiden WACC, Dr Maurus Young serta para sasterawan terkemuka dunia juga hadir bagi memeriahkan acara itu yang diselang-seli dengan pelbagai persembahan kebudayaan serta deklamasi sajak.

Tidak ketinggalan, Menteri Besar Perak turut mendeklamasikan sajak bertajuk ‘Kita Akrabkan Satu Dunia Dengan Puisi’ dengan penuh bersemangat dan bertepatan dengan tema WCP, tahun ini.

Sementara itu, Dr Maurus Young berharap bekerjasama erat yang terjalin antara negara yang mengambil bahagian dapat diteruskan bagi memartabatkan puisi dari semasa ke semasa.

Katanya, gabungan idea mahupun bahasa yang pelbagai mampu meletakkan puisi di taraf tinggi sekaligus meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang pentingnya peranan puisi.

Kongres Penyair Sedunia berlangsung selama seminggu bermula 20 Oktober lalu dan para peserta akan dibawa melawat beberapa lokasi tumpuan pelancong di sekitar Perak antaranya Lenggong, Kuala Sepetang, Gua Tempurung, Batu Gajah dan Pulau Pangkor.

Sebanyak 134 hasil nukilan penulis tersohor dari seluruh dunia akan dipersembahkan sepanjang kongres itu yang dijadual berakhir Jumaat ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");