Membawang Hari Ini

Rahsia nama Yunalis

yuna

Seawal kemunculannya, ramai yang menyangka Yuna itu sekadar nama pena atau panggilan tatkala beraksi di pentas.

Namun sesudah menyingkap nama sebenarnya, Yuna adalah pangkal kepada perkataan Yunalis. Seunik nama, begitulah juga dengan orangnya yang memiliki pelbagai kebolehan. Tidak sekadar menyanyi, bijak belajar, dia juga berbakat dalam bidang penciptaan lagu, selain dianugerahkan bakat melukis.

Sempena episod terakhir Jejak Bintang Bersama Yuna, RAP menemu bual ibu kepada bintang antarabangsa tempatan itu, Anum Fawzia Abdul Wahab, 55, dan membongkar rahsia di sebalik nama anak tunggalnya.

“Saya dan suami memilih nama itu kerana semasa kami sama-sama menuntut di Universiti Malaya (UM), ada seorang pelajar junior di universiti kami bernama Puteri Yunalis.

“Dia sangat comel dan ayu. Malah, kami sukakannya dan terpikat dengan perwatakannya. Pastinya apabila kami memilih nama itu untuk Yuna, kami mengharapkan ciri-ciri baik dimiliki Puteri Yunalis tidak banyak sedikit ada pada Yuna,” katanya.

Puan Anum yang bekerja sebagai guru kimia tingkatan enam di SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang manakala suaminya, Mat Zaarai Alias, 55, bertugas sebagai Penasihat Undang Undang Negeri Pahang, mendirikan rumah tangga pada 1983. Kedua-dua mereka berasal dari Perak.

Selepas hampir tiga tahun menanti, pada tanggal 14 November 1986, lahirlah seorang bayi bernama Yunalis di Hospital Besar, Alor Setar, Kedah.

“Yuna dilahirkan pada malam Jumaat secara normal walaupun boleh dikategori bersaiz besar, lebih kurang 9 paun (4.08 kilogram).

“Sudah tentu kelahirannya itu adalah saat paling indah dalam kehidupan saya dan suami,” katanya.

Ditanya apakah bacaan atau surah yang diamalkan Puan Anum dalam membesarkan Yuna, dia berkata, hanya Al-Fatihah dan ayat Kursi amalannya setiap hari.

Bercerita mengenai zaman kanak-kanak ‘singer-song writer’ berbakat besar itu, Puan Anum pernah berhadapan dengan pengalaman yang mencemaskan apabila Yuna didapati hilang ketika berumur tiga tahun.

“Yuna hilang di pusat membeli-belah The Mall. Masa itu memang panik, risau dan rasanya seperti separuh nyawa hilang. Ketika kelam-kabut mencari Yuna, tiba-tiba Alis iaitu panggilan manja Yuna di rumah berlari keluar dari kawasan ‘glasswares’. Bertambah kecut perut saya masa itu kerana risau dia terlanggar kristal kaca,” katanya.

Menghala fasa kehidupan Yuna ketika bersekolah rendah, Puan Anum berkata, era itu adalah saat paling sukar buat Yuna kerana dia sering menjadi mangsa buli murid lain.

Melanjutkan perbualan, Puan Anum berkata, meskipun Yuna berstatus anak tunggal, dia tidak dimanjakan. Bukan semua benda yang dihajati atau diingininya akan dipenuhi.

Malah, di rumah Yuna dilatih seperti kebanyakan anak gadis yang lain untuk menguruskan kerja di dapur.

“Menghias dan mengemas rumah paling Yuna minat dan serah saja pada dia. Manakala memasak pula kebolehannya sederhana saja sama seperti saya.

“Dari segi pelajaran dan semua perkara, saya selalu tekankan lakukan semua secara sederhana. Ada jadual masa untuk belajar dan masa untuk rekreasi.

“Tidak dinafikan, memang bab pelajaran saya tegaskan bahawa ia sangat penting. Tidak pernah memaksa Yuna dapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan.

“Pun begitu, syukur alhamdulillah, Yuna sendiri tahu kepentingan pelajaran kerana itu yang membantu dia berfikiran lebih terbuka.

“Manakala pergaulan pula, Yuna biasanya bergaul dengan rakan yang dia selesa dan saya sendiri memastikan saya kenal setiap kawannya termasuk keluarga mereka. Jika saya rasakan ada antara rakannya yang tidak sesuai, saya akan beri teguran serta peringatan kepada Yuna sentiasa berwaspada bila berkawan. Alhamdulillah, semua rakannya saya kenal,” katanya.

Kalau merajuk suka berkurung

Bagaimanakah keadaan Yuna ketika sedang merajuk atau kecewa, Puan Anum berkata, Yuna biasanya akan berkurung dalam bilik dan biarkan beberapa lama di situ.

“Tetapi sekali-sekala saya akan ‘check on her’ dan bertanya sama ada dia okay atau tidak?

“Apabila dia dah ‘cool’, kami akan berbincang dan saya berikan pandangan. Ada masanya dia akan ikut dan kadangkala dia sendiri sudah ada jalan penyelesaian. Sebagai ibu, saya akan hormati apa tindakan yang diambil,” katanya.

Setiap hari berhubungan dengan puteri kesayangannya itu melalui medium seperti Skype dan WhatsApp, Puan Anum sentiasa berpesan kepada Yuna menjaga dirinya baik.

“Selalunya, saya akan Skype dengan Yuna ataupun WhatsApp. Dari kecil lagi saya maklumkan kepada Yuna, kalau hendak pergi mana-mana, buat apa-apa, maklumkan dulu kepada saya. Bukan untuk ‘check’ atau mahu menyekat pergerakannya, tetapi supaya saya boleh berdoa akan keselamatannya.

“Alhamdulillah, dari kecil hingga sekarang, walaupun dia dah berjaya, dia selalu memaklumkan aktivitinya. Selain itu, sebelum tidur, saya akan ucapkan selamat malam ‘and I love you’. Begitu juga apabila bangun tidur, saya akan ucapkan selamat pagi ‘and I love you’.

“Perkara sama turut dilakukan Yuna. Kalau tertinggal satu malam atau satu pagi tidak berbuat demikian, saya akan berasa risau,” katanya.

Sebagaimana diketahui umum, Yuna sentiasa nampak tenang dan bilakah saat paling menyedihkan pernah dilaluinya, Puan Anum berkata, semasa kakak sepupunya iaitu arwah Marina Mas Ahmad Zamil meninggal dunia. Ketika itu, dia baru berusia 15 tahun,” katanya.

Menyingkap perkara yang melukakan hati Puan Anum apabila mengaitkan nama Yuna, beliau mengakui dirinya sangat sedih apabila orang melemparkan tuduhan Yuna dengan mengatakan Yuna seorang sombong.

“Kenali Yuna dulu. Kenal hati budinya kerana tak kenal maka tak cinta,” katanya sambil menganggap lukisan dirinya sedang tidur yang dilukis oleh Yuna sewaktu berumur 10 tahun adalah pemberian cukup berharga dan sentimental.

Menyentuh mengenai kekuatan Puan Anum dan suami melepaskan Yuna menetap dan melebarkan kerjaya muziknya di luar negara, beliau berkata, mereka mempercayai bakatnya serta muzik Yuna.

“Saya berpegang pada prinsip, kalau tak cuba tak tahu boleh berjaya atau tidak. Saya tidak mahu apabila Yuna meningkat usia, dia berasa menyesal kerana tidak mencuba itu dan ini. Paling penting, dia harus mencuba.

“Dalam masa yang sama berserah kepada Allah SWT, insya-Allah. Walaupun hati saya sentiasa risau dan resah setiap kali dia berjauhan, saya selalu berfikiran positif,” katanya.

-Metro online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");