Jenayah

Rangka manusia tepi kolam

tulangRangka manusia yang ditemui berhampiran kolam ikan di Sungai Kroh, Ayer Kuning, Selasa lalu:-

TAPAH – Niat seorang Orang Asli untuk menjerat burung terbantut apabila dia terjumpa rangka manusia lengkap berpakaian, berhampiran kolam ikan di Sungai Kroh, Ayer Kuning, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, saksi yang terkejut dengan penemuan tersebut terus membuat laporan polis.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian serta menjumpai beberapa tulang dan satu tengkorak manusia.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian, seluar, kemeja dan tali pinggang hitam berjenama John Master turut dijumpai.

“Tiada sebarang senjata dan dokumen pengenalan diri milik mangsa ditemui di tempat kejadian.

“Bagaimanapun berdasarkan daripada pemeriksaan tulang dan barang kes, mangsa dipercayai seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun,” katanya. kepada pemberita selepas menghadiri gotong-royong dan majlis tahlil Allahyarham Asisten Superintendan Mohd Zabri Abd Hamid, di sini, semalam.

Som Sak berkata, rangka manusia itu juga didapati berselerak, dipercayai angkara binatang liar.

Katanya, pihaknya percaya rangka tersebut berada di kawasan terbabit sejak kira-kira tiga bulan lalu sebelum ditemui.

Beliau berkata, rangka manusia itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk pemeriksaan lanjut.

“Kami juga meluaskan pencarian bagi mengenal pasti identiti rangka manusia itu dengan rekod orang hilang sejak Mac hingga Ogos di Perak berdasarkan ciri-ciri ditemui namun tiada padanan.

“Kita juga akan memperluaskan pencarian dengan rekod orang hilang dari negeri lain dan berharap dapat menjumpai padanan,” katanya.

Som Sak berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu siasatan lanjut dilakukan.

Beliau meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut supaya terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor La Paula Abd Muis atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintendan Md Nasri di talian 05-4015222.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");