Perak Hari Ini

Rangsang Penjawat Awam: Jumlah Hadiah Anugerah Inovasi Akan Ditambah

BARU

Kerajaan Perak berhasrat menambah jumlah hadiah Anugerah Inovasi pada tahun akan datang untuk menghargai pencapaian kakitangan awam di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah tersebut juga dapat merangsang dan menggalakkan penjawat awam menerokai inovasi baru dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

“Inovasi sangat penting untuk kita menambahbaik bidang perkhidmatan khususnya dalam konteks era globalisasi di mana bidang teknologi maklumat menjadi tumpuan.

“Oleh itu, saya berpandangan salah satu langkah menggalakkan kakitangan awam mencipta inovasi yang kreatif adalah dengan memberi rangsangan sebegini kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan anugerah Hari Inovasi Perkhidmatan Awam peringkat Perak di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Shamsudin Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan Koperasi negeri, Mohd Nizar Zakaria.

Jelasnya, walaupun sektor awam mempunyai jabatan yang banyak, namun hanya jabatan yang terpilih sahaja menyertai program inovasi itu.

“Kebiasaannya yang terlibat adalah jabatan-jabatan dari pejabat daerah sahaja.

“Oleh yang demikian, saya telah meminta supaya diperbanyakkan lagi jabatan yang terlibat bagi meningkatkan perkhidmatan untuk rakyat,” tambah Zambry.

Sementara itu, Abdul Puhat pula menegaskan kejayaan inovasi tidak semestinya sesuatu yang besar sebaliknya hasil yang dapat memberi nilai tambah sekaligus mengubah kehidupan rakyat.

Justeru,katanya lagi, inovasi yang mungkin dianggap remeh tetapi dapat diterima oleh masyarakat serta mudah dilaksanakan sebenarnya dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti sesebuah organisasi.

Tahun ini, enam anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Inovasi Pengurusan Pentadbiran Daerah dan Tanah (AIPDT), Anugerah Inovasi Pengurusan Teknologi Maklumat (AIICT), Anugerah Inovasi Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT), Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK), Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) dan Anugerah Tema Hari Inovasi Terbaik.

Bagi kategori AIMB dan AIPK, tiada jabatan yang memenangi anugerah tersebut.

Untuk kategori Anugerah Tema Hari Inovasi Terbaik 2013, kakitangan dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Muhamad Azim Azmi terpilih sebagai pemenang dan beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 beserta piala iringan dan sijil.

Manakala juara AIPBT dimenangi oleh pihak MBI dengan projeknya ‘Protable Hydraulic Pump’, dan diikuti tempat kedua; Majlis Daerah Tapah (i-bendera) dan Majlis Daerah Pengkalan Hulu (Perangkap Anjing Liar) di tempat ketiga.

Bagi anugerah AIICT pula, johan dirangkul oleh MBI (eWaste@MBI), naib johan dimenangi Pejabat Kewangan Negeri (Penurunan Kuasa Dokumen Kewangan Melalui Sistem e-power Attorney; e-Pa) dan ketiga adalah Jabatan Akauntan Negara Malaysia Perak (Sistem D’WTD-Perekodan Data Syarikat Bagi Wang Tak Dituntut).

Juara Anugerah AIPDT pula dimenangi oleh PDT Teluk Intan (Skuad 766), tempat kedua PDT Kinta, Batu Gajah (Lawatan Penguatkuasaan Kutipan Hasil Ke Premis Pemilik-Pemilik Tanah) dan tempat ketiga dirangkul PDT Ipoh (Sticker Papan Iklan).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");