Jenayah

Ribut: Bilik pengantin turut musnah

RIBUT

TUMPAT – Sebanyak 10 rumah rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian di Kampung Cherang Melintang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kebanyakan bumbung rumah terbabit rosak teruk selepas dipukul ribut kira-kira 10 minit.

Penduduk, Yahya Mohd Yusof, 53, berkata, kejadian itu menyebabkan persiapan perkahwinan anak saudaranya, Ranita Mohamad, 27, musnah apabila bumbung bilik tidur pengantin diterbangkan ribut.

“Pelamin terbalik, khemah terangkat diterbangkan ribut, meja tetamu ada yang pecah.

“Paling sedih apabila bilik pengantin yang siap dihias musnah terkena hujan selepas bumbungnya tercabut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, majlis perkahwinan anak saudaranya itu tetap diteruskan selepas penduduk kampung membaiki segera kerosakan bumbung itu.

Menceritakan detik cemas itu, Yahya berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu menyiapkan persiapan perkahwinan anak saudaranya.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi hujan dan disertai ribut yang kuat, dalam sekelip mata bumbung rumah terangkat.

“Kerana terlalu takut, saya laungkan azan dengan harapan penghuni di dalam rumah kira-kira 30 saudara mara yang hadir majlis perkahwinan ini selamat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jaafar Sulong, 62, berkata, kejadian ribut itu nyaris meragut nyawa cucunya berusia dua bulan apabila serpihan bumbungnya terjatuh berhampiran buaian.

“Saya ketika itu di dalam bilik air sedang ambil air wuduk, tiba-tiba terdengar bunyi ribut yang amat kuat.

“Saya terus bergegas naik ke atas rumah kerana khuatir keselamatan cucu yang berada di dalam buaian di ruang tamu.

“Dalam sekelip mata bumbung rumah terangkat, cucu saya basah terkena hujan dan sebuah televisyen rosak apabila tidak sempat mengalihkannya,” katanya.

Mangsa ribut mendapat perhatian Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim apabila beliau menziarahi rumah terbabit bersama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Mohd Zaki berkata, bantuan dari tabung Serambi Makkah disalurkan kepada mangsa ribut dalam usaha membantu meringankan beban mereka.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");