Membawang Hari Ini

Romancinta bekalan terbaru Mojo

mojo

Dijangka dapat meneruskan populariti lagu Andai Ku Bercinta Lagi

Lagu Andaiku Bercinta Lagi nyata membawa tuah bagi kumpulan Mojo kerana berbekalkan lagu terbabit berjaya untuk memperkenalkan kumpulan yang ditubuhkan oleh komposer terkenal, Edry Abd Halim ke pelosok tanah air.

Membuktikan lagu itu ada tuahnya tersendiri, membawa Mojo untuk meraih pengiktirafan anugerah platinum berkembar lima daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) apabila lagu itu dimuat turun lebih satu juta unit selain menerima dua anugerah pada Festival Muzik Pop Asia Hong Kong (HKAMF) 2013, Mac lalu.

“SAYA MELIHAT AWEERA ADALAH GENERASI BARU SEBAGAI PENYANYI VOKAL LELAKI DI MALAYSIA. LAGIPUN DIA MASIH MUDA, BARU 22 TAHUN DAN PERJALANANNYA MASIH LAGI JAUH UNTUK DITEMPUHI UNTUK MELETAKKAN NAMANYA SETANDING DENGAN PENYANYI VOKAL HEBAT LAIN DI MALAYSIA” Edry, Komposer/Pemain keyboard

Malah jika diikutkan selepas setahun diperdengarkan, nampaknya peminat tidak jemu-jemu mendengar lontaran vokal oleh penyanyinya Aweera.

Namun begitu, Mojo tidak mahu terus selesa dengan keadaan itu dan sebagai buah tangan kepada peminatnya, mereka tampil dengan lagu single kedua, Romancinta hasil ciptaan sepenuhnya oleh Edry.

Kata Edry yang turut bertindak sebagai pemain keyboard, single kedua Mojo ini tampil dengan konsep muzik rock klasik bagi mengembalikan kegemilangan muzik yang pernah tercipta sekitar 1980-an dulu.

“Konsep lagu Romancinta ialah mengembalikan zaman kegemilangan muzik rock klasik yang hadir dengan persembahan muzik dalam band. Persembahan mereka ketika itu menumpukan kepada petikan gitar solo. Saya perhatikan peminat sudah kembali ke muzik rock klasik.

“Lagu ini juga sebagai pertaruhan kami selepas melihat ada ruang untuk diketengahkan dan menarik kembali perhatian peminat terhadap muzik rock klasik,” katanya.

Selain Edry dan Aweera, Mojo turut dianggotai oleh Denny dan Johar.

Malah besar harapan dibawa oleh Mojo agar penerimaan peminat terhadap lagu Romancinta ini lebih hebat berbanding taruhan pertama mereka dulu.

“Tentunya saya berharap lagu single baru ini mendapat perhatian seperti dulu.

Malah saya berharap sambutan lebih hebat. Setakat ini maklum balas yang diterima selepas lagu Romancinta dimuat naik ke laman YouTube bagus kerana mereka suka dengan muzik yang kami suntik dalam lagu ini.

“Ada beranggapan lagu ini kesinambungan terhadap lagu Andaiku Bercinta Lagi,” katanya lagi.

Sasaran tembusi pasaran Indonesia

Mungkin ramai yang melihat kehadiran Edry dalam kumpulan ini menyebabkan ia mudah menarik perhatian peminat, namun bagi komposer ini, dia melihat gabungan semua yang terbabit secara langsung dalam kumpulan ini yang menaikkan nama Mojo.

Jelas Edry, setiap ahli ada peranan masing-masing untuk mengukuhkan nama Mojo. Kalau tiada Aweera, mungkin Mojo itu berbeza.

“Jadi kami saling melengkapi dalam Mojo.

Dalam masa sama, saya melihat Aweera adalah generasi baru sebagai penyanyi vokal lelaki di Malaysia. Lagipun dia masih muda, baru 22 tahun dan perjalanannya masih lagi jauh untuk ditempuhi untuk meletakkan namanya setanding dengan penyanyi vokal hebat lain di Malaysia.

“Cuma saya harap semua ahli kumpulan Mojo jangan terlalu ghairah dengan pencapaian yang digapai, sebaliknya terus memberi tumpuan kerana perjalanan yang ingin dituju oleh Mojo masih jauh,” katanya.

Membuktikan Edry serius untuk membawa Mojo pergi lebih jauh dalam bidang yang mereka ceburi ini, perancangan sedang diatur untuk membawa muzik Mojo ke pasaran Indonesia.

“Sasaran kami seterusnya untuk mencuba masuk ke pasaran muzik di Indonesia.

Tapi kami harus mengkaji pasaran dulu untuk melihat kesesuaian lagu yang boleh dibawa kerana. penerimaan peminat di Indonesia agak berbeza.

“Mojo juga terbabit untuk lagu soundtrack filem Vikingdom iaitu Dark Cloud yang mana filem terbabit juga dipasarkan ke lebih 80 negara seluruh dunia, secara tidak langsung membawa Mojo untuk diperkenalkan ke seluruh dunia,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");