Jenayah

Rumah pegawai SPAD disamun

SAMUN

KUALA TERENGGANU- “Sejurus melihat kunci mangga pada pintu utama rosak selain terdapat kesan umpilan, hati sudah terdetik bahawa rumah saya dipecah masuk apatah lagi cubaan saya untuk membuka pintu gagal kerana ia seolah-olah dikunci dari dalam,” kata Ismail Munajat, 51.

Ismail, seorang Pegawai Penguat Kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur kerugian hampir RM8,000 apabila pelbagai barangan berharga miliknya termasuk barang kemas dilarikan penyamun dalam kejadian di Kampung Durian Burung, di sini.

Kejadian itu hanya disedari Ismail kira-kira jam 3 pagi kelmarin sebaik tiba di rumah sewanya itu selepas pulang menyambut Aidiladha di Johor.

Menurut Ismail, dia bersama keluarga meninggalkan rumah dalam keadaan baik pada petang Isnin lalu untuk menyambut Aidiladha dan pulang semula ke Terengganu pada petang Selasa.

“Sebaik tiba di rumah, saya mula mengesyaki rumah telah dipecah masuk dan ternyata tekaan saya tepat apabila melihat keadaan rumah termasuk empat bilik berselerak sebaik berjaya masuk ke dalam rumah.

“Pemeriksaan selanjutnya turut mendapati televisyen plasma 44 inci; barang kemas bernilai RM4,000; komputer riba; dekoder Astro serta beberapa pasang kasut hilang dengan anggaran kerugian bernilai RM8,000,” katanya yang sudah menyewa di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu.

Jelasnya lagi, walaupun kejadian itu berlaku ketika mereka sekeluarga tiada di rumah, isteri yang berusia 45 tahun kini trauma sehingga mahu berpindah kerana bimbang kejadian sama akan berulang kembali.

Susulan kejadian itu, Ismail membuat laporan di Balai Polis Manir, di sini, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");