Terima pakej bulan madu ke Maldives
Sudah hampir lima tahun pasangan pelakon popular, Kamal Adli, bercinta dengan Intan Ladyana.
Sekitar jam 10.30 malam, 29 September lalu, apabila Juwie terjumpa Kamal di Hotel Marriott Putrajaya, Juwie terus bertanya: “Bila you nak kahwin dengan Intan?”.
Jawab Kamal spontan: “Insya-Allah, tahun depan. Sekarang baru beli rumah dua tingkat di kawasan Ampang (Kuala Lumpur) dan tengah kumpul duit lagi untuk kahwin. Sebelum kahwin, Kamal nak ada bisnes dulu. Sekarang tengah nak buat projek gelanggang futsal bersama dua lagi rakan bisnes lelaki di Serdang, Selangor.”
Alhamdulillah. Semoga Allah makbulkan hajat mulia Kamal yang ramah mesra orangnya.
Keesokannya, jam 7 malam, Juwie telefon Intan yang sedang berada di Lapangan Terbang Miri, Sarawak menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Juwie beritahu: “Intan, semalam Juwie jumpa Kamal… dia beritahu, nak kahwin dengan you tahun depan. Apa perasaan you?”
Jawab Intan: “Saya pun tak tahu nak cakap apa-apa. Saya betul-betul terkejut sebab dia tak pernah beritahu saya. Kalau begitu, baguslah. Bersyukur rasanya. Kami sudah bercinta hampir lima tahun dan kahwin itu matlamat orang bercinta. Saya serahkan jodoh kepada Allah dan mengharapkan pengakhiran jodoh yang terbaik.”
Intan baru saja habis penggambaran untuk babak lakonannya dalam filem, Adnan Sempit 4: Sawadikap terbitan MiG pada bulan lalu.
Kamal pula sibuk dengan penggambaran siri drama, Terukir Di Bintang siaran TV3 bersama Tasha Shilla arahan Jamal Khan.
Pada 6 Oktober lalu, Kamal berpasangan dengan aktor, Fizz Fairuz dalam program, Liga Lawak Superstar di TV3.
Hadiah bulan madu dari AirAsia
Lihat foto Kamal Adli dan Intan Ladyana bersama Edd Radzhe yang dirakamkan pada majlis berbuka puasa Ramadan lalu anjuran AirAsia di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Edd adalah pembantu peribadi kepada Pengerusi AirAsia Berhad.
Selasa lalu Juwie tanya Edd: “Apa hadiah nak beri jika (ditakdirkan) Kamal dan Intan kahwin suatu hari nanti?”
Jawab Edd: “AirAsia akan bagi dua tiket berbulan madu ke Maldives kepada mereka. Edd dah lama kenal Kamal sebelum dia jadi pelakon. Intan pun dah lama Edd kenal. Edd doakan mereka cepat bertemu jodoh dan naik pelamin. Semoga cinta mereka bahagia selama-lamanya. Amin.”
-Berita harian