Perak Hari Ini

WCP Ke-33 Gamit Kenangan Manis Buat Peserta

amin bacaKongres Penyair Sedunia  (WCP) Ke-33 yang menghimpunkan hampir 300 penyair tempatan dan luar negara telah melabuhkan tirainya di Arena Square Pangkor dalam acara penuh gilang-gemilang,  malam tadi.

Rata-rata penyair yang menyertai program ini menyuarakan rasa kagum terhadap  sambutan mesra penduduk Perak sepanjang tempoh mereka berada di negeri tersebut.

Sementara itu, peserta juga turut menyatakan sambutan yang diterima di setiap lokasi bacaan puisi cukup menarik untuk dikongsi bersama-sama yang lain.

Menurut Presiden WCP, Wan Hua Chapoutier,  beliau begitu tersentuh dengan sambutan dan sokongan yang diberikan kepada para peserta sepanjang tempoh kongres itu berlangsung.

“Sambutan penduduk Perak sangat mesra dan baik,” katanya.

Sementara  itu, penyair dari Korea pula, Sunwoo Ho turut menyatakan rasa kagum dengan mengenai keindahan bumi Malaysia terutamanya di negeri Perak.

Katanya lagi, Perak merupakan satu negeri yang unik serta mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dilawati.

“Persekitaran di sini cukup menarik dan  saya tidak menyesal menghadiri  WCP  kali ini kerana dapat berkumpul dengan  penyair dari seluruh dunia di sini,” ujarnya lagi.

Manakala bagi penyair dari Indonesia, Mohd Ghufron Cholid,  kehadirannya di WCP memberikan pengalaman yang cukup baik.

Tambahnya lagi, penyertaan dalam WCP kali ini membantunya untuk berkongsi karya bersama para penyair tempatan dan antarabangsa.

“Budaya di Perak berjaya menarik perhatian saya dan ianya cukup berbeza kerana budaya di sini adalah asli dan pelbagai,” katanya.

Bagi penyair tempatan pula, Salmiah Ismail, Kongres Penyair Sedunia merupakan satu peluang besar baginya untuk melebarkan sayap sebagai penyair Malaysia.

“Pengalaman bersama penyair yang lain memberi impak yang baik kerana penyair berpeluang berkongsi ilmu dan karya,” katanya lagi.

Biarpun Salmiah mendapati ada sedikit kekurangan daripada segi pengurusan acara namun ianya dapat diterima kerana ini merupakan acara  yang  julung kali di anjurkan di Perak.

Sementara itu, menurut Musa Masram, penyair dari Sabah, beliau cukup gembira kerana  program berjalan dengan lancar dan baik.

“WCP telah memberi banyak pengalaman kepada saya untuk menilai karya dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Tambah Musa lagi, seharusnya perlu ada penterjemahan untuk setiap karya penyair  yang  hadir sama ada dalam bahasa Melayu dan antarabangsa.

Puisi bertajuk ‘Hujan Mengalirkan Sungai’ oleh Ramli Selamat dan ‘Anak Satu’ oleh Rabani Haron telah terpilih untuk memenangi pertandingan menulis puisi sempena WCP Ke-33 dan kedua-dua pemenang tersebut bakal mewakili Malaysia ke WCP ke-34 di Peru, tahun hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");