Berita Hari Ini

Shabery akur, cari jalan jelas isu K-Pop

shabery

KUALA LUMPUR – Isu bayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop dari Korea Selatan akan tetap dijelaskan kepada rakyat supaya ia tidak disalah faham dan menimbulkan persepsi negatif, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata beliau akur kepada Peraturan Majlis Mesyuarat Parlimen yang melarang prosiding Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) dilakukan di hadapan kamera, namun akan tetap mencari jalan agar penjelasan mengenainya sampai kepada rakyat.

“Saya akan menjelaskan kepada PAC, cuma nak cari jalan sama ada saya boleh maklumkan terus kepada media sebaik sahaja saya (selesai) menjelaskan (kepada PAC), saya tak mahu jadi mangsa kepada persepsi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemu bual secara langsung di TV1 dalam program ‘Dialog’ di Angkasapuri, di sini, malam semalam.

Semalam, Ahmad Shabery berkata RTM sedia menyiarkan secara langsung prosiding PAC membabitkan dirinya dalam isu itu sekiranya diberikan kebenaran.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee hari ini berkata prosiding itu tidak boleh dilakukan di hadapan kamera kerana melanggar Perkara 85, Peraturan Majlis Mesyuarat Parlimen, kecuali mendapat kebenaran daripada Speaker Dewan Rakyat.

Ditanya sama ada beliau akan meneruskan usaha memohon kebenaran itu, katanya beliau akan berjumpa dengan pihak PAC terlebih dahulu bagi mendapat kebenaran mereka.

“Saya sudah bercakap dan telah mengutus surat kepada mereka (PAC) untuk panggil saya supaya disoal siasat. Saya difahamkan PAC akan bersidang dalam beberapa hari lagi, mungkin pada minggu hadapan bagi memutuskan perkara ini,” katanya.

Sebelum itu, dalam program TV berkenaan, Ahmad Shabery berkata PAC adalah platform paling sesuai bagi menjelaskan isu berkenaan kerana ianya adalah satu jawatankuasa khas ditubuhkan di bawah Parlimen.

“Isu ini juga dibentangkan Audit di Parlimen, jadi PAC adalah forum paling sesuai…jawatankuasanya juga terdiri daripada (gabungan anggota Parlimen kerajaan dan) pembangkang, jadi biarlah saya disoal siasat, jika saya salah, biarlah saya bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, Kementerian Belia dan Sukan (ketika itu Ahmad Shabery menjadi menterinya) membelanjakan RM1.6 juta berkenaan sempena Himpunan Jutaan Belia tahun lepas.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");