Isu Panas

Shahrizat Garis Faktor Pengaruhi Pilihan Wanita Umno Bagi Jawatan Naib Presiden

Shahrizat (tengah) yang tiba di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ditemuramah pemberita pada Jumaat
Shahrizat (tengah) yang tiba di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ditemuramah pemberita pada Jumaat

PETALING JAYA: Calon yang ingin merebut jawatan naib presiden Umno perlu memenuhi kriteria mampu mempertahankan kedaulatan negara, keamanan dan kesejahteraan rakyat, kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Wanita Umno itu berkata tiga faktor tersebut merupakan indikator yang ditetapkan dan diambil kira oleh pergerakan itu dalam membuat pilihan, memandangkan enam calon yang menawarkan diri memiliki keistimewaan tersendiri.

“Pada saya, enam calon yang menawarkan diri mempunyai keistimewaan masing-masing tetapi fokus Wanita adalah kepada faktor iaitu sesiapa yang boleh menentukan kedaulatan negara, keamanan dan kesejahteraan rakyat akan menjadi pilihan…itu mesej yang dibawa oleh Wanita Umno Malaysia,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini Khamis.

Terdahulu, Shahrizat bersama kepimpinan Wanita mengadakan pertemuan tertutup hampir dua jam bersama Hishammuddin yang akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan peringkat tertinggi pada Sabtu ini.

Ditanya sama ada kenyataan itu menunjukkan Wanita Umno mahu mengekalkan status quo tiga naib presiden sedia ada, Shahrizat berkata kenyataan itu adalah adil kepada semua calon, malah menghormati pendirian setiap perwakilan yang akan mengundi.

“Cuma saya selaku Ketua Wanita ingin tegaskan bahawa kami fokus dalam memilih pemimpin yang mana kita perlu ada sebab dan alasan mengapa kita memilih seseorang pemimpin, dan pada kami tiga faktor itu amat penting,” kata Shahrizat.

Selain Hishammuddin, turut akan mempertahankan jawatan naib presiden ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut bertanding jawatan itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Berhubung isu 14 daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kalabakan yang menang pada pemilihan Sabtu lepas meletak jawatan semalam, Shahrizat berkata setakat ini Umno pusat belum menerima laporan rasmi mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak terlibat menghantar surat bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, memuji kematangan barisan kepimpinan Wanita di bawah pimpinan Shahrizat yang disifatkannya sebagai cukup berani dalam menyuarakan pendapat demi perpaduan parti melebihi kepentingan diri.

Beliau juga yakin Wanita Umno di bawah teraju Shahrizat, mampu bergerak lebih lancar bersama pucuk pimpinan parti untuk berhadapan dengan apa juga cabaran.

“Selepas pemilihan ini, orang tak boleh lagi pertikai kekuatan, kesatuan dan keyakinan Wanita dalam melakukan sebarang gerakan,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");