Selepas dikenali sebagai pasangan duet, dua bakat baru ini ingin muncul dengan single solo
Pasangan duet serasi ini mula mendapat perhatian selepas video nyanyian mereka, Mr Saxobeat, dimuatkan ke laman YouTube pada awal 2012. Tidak lama kemudian, Tasha Manshahar dan Syed Shamim tampil pula bersama klip Be Mine, yang turut menerima sambutan hangat peminat.
Sejak itu, nama kedua-duanya tidak asing lagi dalam dunia muzik. Malah beberapa bulan lalu mereka melancarkan single Be Mine dan sebuah lagi lagu baru, Cuba Teka, secara serentak. Dengan beberapa produk yang ada, sudah tentu kedua-duanya kini mampu tersenyum lebar dalam dunia muzik arus perdana.
Begitupun, di sebalik kejayaan yang mula dikecapi di persada seni, dua bakat baru ini tetap mempunyai impian besar iaitu bergelar pendidik kepada pelajar istimewa.
Bagi Tasha, dia ingin menguasai kedua-dua bidang sekali gus, iaitu muzik dan pendidikan. Malah, tentunya menjadi kelebihan buat dirinya jika menggalas tugas sebagai guru dan penyanyi serentak, jika ia mampu memberikan didikan lebih kepada pelajar sedemikian.
“Sebagai guru, kita kena pelbagaikan bentuk penyampaian. Sebagai penyanyi mungkin saya ada kelebihan apabila dapat mengajar sambil menghiburkan pelajar.
“Pelajar sekarang sukakan hiburan, jadi saya akan menggunakan bakat yang ada ini untuk menghiburkan mereka, sambil mengajar. Dengan cara ini mungkin membuatkan mereka mudah menerima didikan kita,” katanya yang masih menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPG KIK), Cheras, bersama teman duetnya itu.
Kena bijak bahagi masa
Menggalas tanggungjawab sebagai pelajar dan pada masa sama sibuk dengan undangan nyanyian pula bukanlah halangan untuk mereka mengendurkan minat dalam muzik.
“Saya tidak berasakan kedua-dua tugas itu sebagai beban kerana kita kena pandai membahagikan masa. Kami hanya menerima tawaran persembahan pada musim cuti atau hujung minggu. Dengan cara itu, ia tidak mengganggu jadual kelas, begitu juga rakaman.
“Apabila sudah bergelar guru kelak, bidang nyanyian mungkin bukan lagi keutamaan. Tetapi, saya sendiri masih tetap mahu menyanyi kerana inilah minat saya sejak kecil,” katanya.
Serlah sisi berbeza
Selepas muncul dengan dua single duet, Tasha dan Syed yang ditemui selepas mengadakan persembahan pada program Riang Ria BH di Melaka Wonderland, baru-baru ini, berharap dapat tampil dengan single solo hasil ciptaan mereka sendiri pula selepas ini.
Tasha yang baru menyiapkan lagu berjudul Masih Perlu menganggap rakaman terkininya itu menampilkan kelainan dari segi rentak dan muzik.
“Lagu ini lebih berentak perlahan, bagi mencari sedikit kelainan berbanding lagu duet. Ia hasil ciptaan saya sendiri, tetapi susunan muziknya oleh AG Coco.
“Sebenarnya sudah lama saya cipta lagu ini, sejak berusia 14 tahun lagi. Baru sekarang saya keluarkan kerana berasakan, inilah masa yang sesuai untuk saya tampil sebagai penyanyi solo,” katanya.
Berbeza dengan Tasha, Syed yang juga penuntut jurusan muzik akan menampilkan kelainan dalam single solonya dengan muzik lebih catchy.
Masih mencari material sesuai, Syed membayangkan lagu terbabit menampilkan sisi berbeza dirinya.
“Kalau sebelum ini orang akan kaitkan diri saya dengan Tasha sebagai rakan duet, tetapi untuk lagu kali ini saya lebih menonjolkan diri sendiri,” katanya yang berhasrat menjadi guru muzik apabila selesai pengajian.
-Berita harian