Sukan Hari Ini

Tekad kembali menggegar

Azizulhasni Awang

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama tidak beraksi dalam siri Piala Dunia Klasik, pelumba negara Azizulhasni Awang mula mencongak strategi untuk kembali menggegar pentas dunia apabila turun beraksi pada siri Piala Dunia Klasik pertama di Manchester dari 1 hingga 3 November ini.

Mempunyai sasaran sendiri biarpun masih belum mengetahui perancangan ketua jurulatih, John Beasley terhadap dirinya, Azizul berkata dia tetap mahu mempamerkan yang terbaik dan lebih penting cuba menempatkan diri di kedudukan podium.

Langsung tidak dihantui oleh sejarah tertusuk kayu atau fobia beraksi di Velodrom Manchester, dia bertekad memberi kayuhan terbaik dan berdasarkan prestasi semasa yakin mampu menghadiahkan sesuatu buat negara dan diri sendiri.

“Sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang ini. Selepas hampir dua tahun tidak beraksi di pentas Piala Dunia, inilah masanya untuk saya kembali mencatat nama selaku pemenang.

“Saya tidak tahu apakah sasaran yang diletakkan oleh Beasley tapi saya mempunyai sasaran saya sendiri. Saya akan berusaha untuk menjejakkan kaki ke podium selepas terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan,” katanya yang akan turun dalam acara pecut dan keirin bersama Josiah Ng dan Fatehah Mustapa.

Pada Februari 2011, Azizul terbabit dengan kemalangan ketika memenangi pingat gangsa Piala Dunia Klasik di Velodrom Manchester. Kemalangan itu menyebabkan serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kirinya dan kerana kecederaan itu dia terpaksa berehat setahun.

Mengulas mengenai penyertaannya pada Piala Asia di Bangkok, awal bulan lalu Azizul cukup kecewa apabila pingat perak yang diraihnya dalam acara pecut ditarik balik selepas dikatakan melakukan kesilapan.

Katanya, berdasarkan rakaman video membuktikan dia tidak bersalah dan tidak memasuki laluan pelumba lawan tetapi sebaliknya komisar yang bertugas tetap dengan keputusan mengatakan dia melakukan kesilapan justeru Azizul terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Bagaimanapun hasratnya untuk menebus kekecewaan itu dalam acara keirin tidak kesampaian apabila acara itu dibatalkan berikutan hujan lebat sepanjang malam.

“Saya berada dalam keadaan selesa untuk ke final keirin ketika di Bangkok tapi malangnya perlumbaan tidak dapat diteruskan kerana hujan lebat tidak berhenti hingga 11 malam dan acara itu terpaksa dibatalkan.

“Bagaimanapun saya berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian di Bangkok dan catatan 10.6s dalam acara pecut di velodrom terbuka sudah cukup baik buat saya,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");