Jenayah

Tergamak bawa geng belasah rakan baik

jenayah

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki tidak menyangka rakan baiknya tergamak membawa ‘geng’ membelasahnya gara-gara permintaannya untuk mendapatkan cek bayaran urus niaga antara mereka sebelum ini, dalam satu kejadian di Chendering, di sini, Khamis lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 10.40 pagi, mangsa, 42, yang ketika itu berada di sebuah bengkel di Jalan Kampung Sungai Rengas, di sini, telah menghubungi suspek untuk mengambil cek miliknya.

“Kedua-dua rakan itu sepakat berjumpa di sekitar kawasan Chendering, kira-kira jam 11.30 pagi. Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa datang bersendirian dan menunggu di lokasi dijanjikan.

“Bagaimanapun, tiba-tiba datang tiga kereta dinaiki kira-kira lapan orang termasuk rakannya itu,” katanya, semalam.
Kata sumber, sebaik memberhentikan kenderaan, mereka semua yang tidak dikenali mangsa kecuali rakannya itu, bertindak menyerang dan memukul mangsa.

“Mangsa tidak mampu melawan kerana diserang bertubi-tubi ‘geng’ berkenaan dan akibat kejadian, mangsa mengalami bengkak di bahagian muka serta mata sebelah kiri, sebelum ditinggalkan bersendirian di lokasi kejadian.

“Namun, mangsa bernasib baik kerana semasa menahan kesakitan, dia terserempak dengan seorang lagi rakannya yang secara kebetulan melewati lokasi tersebut sebelum membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini,” katanya.

Susulan kejadian tersebut, selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");