Sukan Hari Ini

TRW selesa, Bujang Senang terluka

bujang senang terluka

SEGALANYA kian menghampiri penghujung, pentas akhir 3 November ini pastinya menjadi rebutan empat pasukan yang meneruskan hasrat menjulang Piala Malaysia 2013.

Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pahang dan Sarawak terus membuktikan reputasinya memburu gelaran tersebut namun aksi separuh akhir pertama 18 dan 19 Oktober lalu seolah-olah memberi gambaran awal dua pasukan yang bakal beraksi di Stadium Shah Alam nanti.

Namun dalam bola sepak segalanya mungkin berlaku, 90 minit yang harus dilalui perlu dimanfaatkan sepenuhnya andai tidak mahu berputih mata.

ELAK TEKANAN

Beraksi di Stadium Selayang, 18 Oktober lalu bukan masalah besar buat The Red Warriors (TRW) apabila tempat duduk hampir dipenuhi peminat setia Pahlawan Merah seawal jam 6.30 petang.

Turun dengan kesebelasan utama, Kelantan ternyata garang dalam aksi tersebut walaupun cuba diberikan saingan ATM namun kelincahan Norfarhan Mohamad, kebijaksaan Mohd Badri Radzi dan kekuatan luar biasa ‘orang besi’ Dickson Nwakaeme memastikan pasukan pulang dengan kemenangan 2-1.

Menjelang aksi kedua di Kota Bharu, sudah pastinya peminat setia TRW mahu anak didik Bojan Hodak mempamerkan aksi bertenaga kerana jaringan gol ditempat lawan yang dicapai sebelum ini seharusnya tidak memberi tekanan.

Perlu tenang dan elak kesilapan mudah serta gol awal perlu tercipta jika ingin beraksi dipentas akhir buat kali kedua berturut-turut.

MISI SUKAR

The Gladiators seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang yang pastinya akan mengubah corak permainan.

Mohd Fitri Omar dan Hairudin Omar antara pemain yang kecewa pada perlawanan tersebut namun mereka berjanji akan bangkit dalam aksi di Kota Bharu.

Bruno Sebastian Martelotto ternyata tenggelam dibahagian tengah kerana hanya mengejar bola dari pemain lawan dan bukannya mencipta gerakan kepada Marlon Alex James.

Bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, pastinya menjanjikan ujian getir dan ketiadaan dua tonggak pertahanan tengah, namun itulah yang perlu dihadapi ketua pasukan, Hairuddin Omar dan rakan-rakan selepas gawang mereka dibolosi pada minit ke-15 oleh kapten TRW, Badhri Radzi.

Meskipun sukar, ia bukan misi yang mustahil kerana ATM pernah meraih kejayaan 3-1 di sana pada kempen Liga Super, seminggu selepas tewas 2-3 di Stadium Paroi pada penamat saingan pusingan pertama liga.

Lebih manis, kemenangan itu menamatkan rekod tanpa kalah 42 perlawanan Kelantan di gelanggang keramat mereka dengan B Sathianathan pastinya mengharapkan persembahan bertenaga dari anak buahnya.

BEKAL SELESA

Tok Gajah mengamuk di Stadium Darul Makmur, buktikanya tiga gol terhasil pada separuh masa pertama untuk membenam Sarawak 3-1.

Tumpuan pastinya terarah kepada pemain versatil, Azamudin Akil (Alex) yang menjaringkan dua gol sebelum Matias Ruben Conti turut meletakkan nama selaku penjaring gol ketiga Pahang.

Menyedari bekalan selesa perlu dibawa ke Kuching, anak didik Dollah Salleh beraksi garang sebaik wisel ditiupkan pengadil perlawanan, sorakan penyokong setia Hitam Putih Takkan Padam turut menaikkan semangat pemain Pahang.

Alex terus membuktikan bisanya selaku orang lama apabila menyempurnakan peluang terhidang untuk gol pertama (m-30) sebelum mengandakan jaringan tiga minit kemudian hasil tandukan cantik menewaskan Sani Anuar Kamsani dibenteng terakhir Sarawak.

Mendahului dua gol, barisan pemain Pahang dilihat masih belum puas dan terus melancarkan serangan melalui bahagian sayap kiri serta kanan yang berjaya mengucar-kacirkan pertahanan pelawat.

Kurang persefahaman komunikasi antara Sani dan benteng memudahkan Conti menjaringkan gol ketiga yang pastinya bekalan selesa menjelang aksi di Stadium Negeri malam ini.

PASTI BERBEZA

Corak pemainan Sarawak pasti berubah malam ini, kehadiran semula Joseph Kallang Tie dan Ronny Haron yang terlepas aksi pertama minggu lalu pastinya mengubah permainan Bujang Senang.

Bolos tiga gol ditempat lawan namun sedikit lega apabila satu gol dihasilkan Ketua Pasukan Mohd Shahrol Saperi (m-40) seharusnya menaikkan semangat anak didik Roberts Alberts.

Rekod kebal dilaman sendiri yang dipegang musim ini seharusnya dipertahankan selain perlu bijak menyekat pergerakan Alex dan Amirul Hadi yang dikhabarkan bakal beraksi selepas pulih dari kecederaan.

Bobby Gonzales, Mohd Shahrol dan Asri Chuchu perlu kreatif dalam mengatur serangan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang terhidang.

AYUH BUKTIKAN

Kelantan dan ATM yang akan beraksi awal pastinya menarik begitu juga Sarawak menanti kunjungan Pahang, namun bayangan awal telah dijelmakan pada aksi pertama minggu lalu.

Tempoh 90 minit terlalu panjang, kelebihan pastinya buat penyandang juara, Kelantan dan Pahang dengan bekalan dimiliki.

Namun tidak mustahil segalanya mungkin berubah, tapi yang diharapkan penyokong dan peminat pastinya ingin melihat aksi bertenaga serta semangat berpasukan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");