Berita Hari Ini

UKM menang Anugerah Tenaga Asean

UKM

ANUGERAH Tenaga Asean yang dimenangi oleh UKM baru-baru ini adalah untuk mengiktiraf usaha terbaik dalam menyediakan dan melaksanakan program penjimatan tenaga berkesan di rantau ini.

Anugerah ini dianjurkan oleh Pusat Asean bagi Tenaga (ACE) dan dinilai oleh pakar tenaga dalam kalangan negara Asean.

Pada tahun ini, UKM memenangi anugerah tersebut di bawah kategori Asean Renewable Energy Project Competition (Special Submission Category) untuk projek bertajuk “Sistem Pemanasan Air Terbantu Suria” untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ini merupakan sistem pemanasan air menggunakan teknologi tenaga suria terbesar di Malaysia dibangunkan di PPUKM dan beroperasi sejak dua tahun lalu. Sistem ini menggunakan 2,304 tiub kaca tervakum dan disusun atur pada 144 keping panel.

Anugerah tahunan berprestij itu telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tenaga, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat, Daniel B Poneman di Persidangan Menteri-menteri Tenaga Asean ke-31 di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Pelopor sistem i-PANAZ©

UKM memenangi Anugerah Tenaga Asean ini buat pertama kali untuk sistem menyimpan tenaga terma bagi sistem hawa dingin UKM di Jakarta, Indonesia. Kali kedua UKM memenanginya untuk Rumah Eko Hidrojen Bertenaga Suria di Siem Reip, Cambodia dan kali ketiga untuk Sistem Sel Fuel Mudahalih di Singapura.

Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) UKM, Prof Datuk Dr Kamaruzzaman Sopian dan Prof Dr Syed Zulkifli Syed Zakaria dari PPUKM telah menerima anugerah itu bagi pihak UKM.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Zamatel Sdn Bhd, Khalid Mokhtar, rakan kongsi UKM yang telah bersama membangunkan sistem pemanasan air menggunakan tenaga suria itu.

Sistem pemanasan air menggunakan tenaga suria itu telah dipasang di PPUKM oleh SERI UKM dan Zamatel Sdn Bhd dengan biayaan RM2 juta di bawah skim Dana Tekno Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Sistem itu mempunyai jangka hayat selama 15 tahun dengan jangka pengembalian modal hanya selama 2.9 tahun.

Jimat penggunaan LPG

Prof Kamaruzzaman berkata, satu pasukan dari SERI, PPUKM dan Zamatel telah mereka bentuk dan memasang sistem itu. Rekaan itu kini telah pun didaftar untuk hakcipta dengan nama i-PANAZ©. Konsep asas sistem ini adalah pengumpul suria berfungsi untuk menyalurkan haba yang dihasilkan dari sinaran suria ke dalam tangki storan.

“Air panas ini akan disalurkan secara terus kepada hospital. Sistem dandang yang sedia ada akan berfungsi dan menggunakan gas petroleum cecair (LPG) untuk menjana haba jika suhu pada storan tersebut tidak mencapai nilai yang dikehendaki.

“Penjimatan tenaga apabila sistem dandang ini tidak beroperasi kerana peranan penjanaan haba diambil alih oleh tenaga suria. Penjimatan penggunaan LPG boleh cecah sehingga 70 peratus,” katanya.

Hospital, hotel dapat manfaat

Hospital dan hotel di Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjimatkan tenaga melalui proses pemanasan air. Terdapat hampir 200 hospital dan hotel yang boleh ditukarkan kepada sistem tenaga suria. Jika kaedah ini digunakan, negara akan dapat menjimatkan pengeluaran gas hijau sehingga 42 juta kilogram (kg) karbon dioksida dan 33,000 kg nitrogen oksid.

Pengurangan ketara gas hijau ini akan membantu Malaysia mencapai hasratnya mengurangkan sehingga 40 peratus pengeluaran karbonnya menjelang 2020.

Sementara itu, Prof Syed Zulkifli pula berkata, sistem pemanasan air di kebanyakan hospital besar beroperasi 24 jam sehari menggunakan LPG sebagai bahan bakar untuk tangki air mereka. Ini merupakan 30 peratus daripada penggunaan keseluruhan tenaga di hospital.

“Sistem pemanasan yang sedia ada di hospital dan hotel boleh diubahsuai untuk sistem pemanasan menggunakan tenaga suria dengan mudah dan akan menjimatkan penggunaan tenaga, katanya.

Berpotensi bagi pasaran Asean

Penggunaan sistem tenaga suria itu untuk lebih dari 400 buah hospital dan hotel besar di seluruh Asean akan beri faedah besar kepada rantau ini dari segi penjimatan penggunaan tenaga. Ia juga mempunyai potensi besar untuk pasaran Asean dengan pasaran bernilai lebih dari RM360 juta dengan penjimatan sejumlah RM196 juta.

Sistem ini boleh digunakan dalam industri proses haba di kilang-kilang tekstil, industri pemprosesan makanan, penternakan, tenusu, akuakultur dan untuk pemanasan kolam renang. Ia boleh menjadi satu industri hijau baru dalam rantau ini.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");