Membawang Hari Ini

UNIC buat pembaharuan

unic

Cabaran hebat dalam penghasilan album dan pasaran yang tidak menentu menuntut penggiat seni sentiasa kreatif dan tampil dengan idea terkini.

Menyedari perlunya perubahan dan tarikan buat peminat, kumpulan nasyid UNIC yang ditubuhkan sejak 2002 mengorak langkah menghasilkan album berkonsep doa yang memuatkan 20 doa-doa terpilih.

Konsep ini bukan sesuatu yang asing kerana pernah dilakukan oleh artis nasyid lain, namun anggotanya Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, 27, Bazli Hazwan Che Osman, 29, dan Ahmad Fazli Abd Aziz, 29, gembira kerana percubaan yang dilakukan berjaya menghasilkan sesuatu yang positif.

“Selepas album terakhir Selawat Relaksasi, tahun ini kami tampil dengan album Doa yang juga album ke-10 dan dipasarkan seminggu sebelum Ramadan lalu. Istimewanya kami turut menampilkan Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre di dalamnya.

“Alhamdulillah kerana sehingga kini jualannya sudah mencecah 20,000 unit. Ia juga dijual secara ‘online’ di iTunes dan jualannya juga sangat membanggakan. Lagu Ya Hanana dan Doa Dhuha mendapat jualan tertinggi menerusi medium ini,” kata Bazli.

Album ini mungkin dianggap biasa buat mereka yang tidak menghargainya. Bagaimanapun kata mereka yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat menerusi program Dikir Zikir, istimewanya doa-doa ini dialunkan bersama melodi dan disertakan makna bagi memudahkan peminat menghafal dan memahami maksudnya.

Apatah lagi, doa ini adalah doa harian yang selalu kita amalkan.

“Doa-doa ini memang sudah ada dalam album sebelumnya. Kami lihat Doa Dhuha pula dijadikan doa wajib di sekolah tadika. Jadi, timbul idea untuk kami lagukan semuanya agar lebih dekat dengan peminat menepati ‘tagline’ kami iaitu hiburan berilmu rohani terpelihara,” katanya.

Bazli berkata, beberapa kelainan dibuat seperti Doa Ya Hanana yang dimodenkan melodinya agar nampak segar. Selain itu beberapa doa yang susah juga mereka melodikan supaya mudah dihafal peminat.

Antara doa-doa penting yang terdapat di dalam album ini ialah Doa Qunut Nazilah, Doa Tahajjud, Doa Istikharah dan banyak lagi.

“Jika diikutkan kos untuk menghasilkan album ini bukanlah besar seperti album lain. Di sini kita lihat kos bukan segala-galanya kerana yang pentingnya ialah pengisian album itu sendiri. Impak yang diterima sangat besar. Namun kita kena kreatif kerana kami turut berduet dengan beberapa peserta Imam Muda 3 menerusi lagu Ikramul Kareem,” kata Fazli pula.

Mereka turut mempunyai syarikat UNIC Nasyeed and Training Consultant yang menguruskan program motivasi dan dakwah ini memilih Doa Taubat sebagai single pertama buat peminat. Melihatkan prospek yang cerah, UNIC bercadang untuk terus tampil dengan album berkonsep doa sebagai cara untuk menjenamakannya kepada peminat.

Perkenal protege

UNIC turut menghasilkan single terbaru berjudul Bintang Syurga yang menampilkan bekas peserta Akademi Fantasia 9 (AF9), Raqib Majid. Ia adalah projek khas bagi membantu mengisi Tabung Kemanusiaan Mesir, Palestin dan Rohingya.

Selain itu, ia juga adalah laluan untuk memperkenalkan bekas peserta Tilawah Peringkat Kebangsaan 2013 dari Melaka ini kepada peminat.

Raqib kini bergelar artis bawah naungan UNIC dan bakal menghasilkan album sendiri nanti.

“Raqib banyak pengalaman dalam tilawah. Dia pernah bergelar juara Tilawah Al Quran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang berlangsung di Melaka pada 2011. Bakatnya ‘versatile’ kerana boleh menyanyi selain boleh membaca al-Quran dengan baik. Kami menilai peribadinya sebelum ambil dia dan penapisan yang dibuat memang ketat.

“Sebelum ini kami hanya ambil bekas peserta Imam Muda untuk projek album doa dan keagamaan. Mereka tak terikat dengan kami tapi Raqib memang diikat dengan kontrak dan akan hasilkan album. Konsepnya masih dalam perbincangan,” kata Fakhrul Radhi yang turut bergelar peserta Tilawah Peringkat Kebangsaan 2013 di Kelantan baru-baru ini.

Raqib atau nama sebenarnya Fahrur Raqib Abdul Majid, 23, mengakui gembira apabila terpilih sebagai artis UNIC. Apatah lagi kumpulan ini memang dikaguminya sejak dibangku sekolah lagi.

“Saya mula aktif dalam tilawah ketika berusia lapan tahun. Apabila masuk sekolah menengah, saya mula cipta lagu sendiri dan muat naik dalam YouTube. Dalam AF pula, saya hanya berjaya sampai ke minggu keempat sebelum tersingkir,” katanya.

Sebelum ini, Raqib juga pernah menghasilkan single berjudul Luahan Rasa hasil ciptaan sendiri.

Menurut Raqib, fokusnya kini tertumpu kepada promosi single Bintang Syurga yang turut dijual di iTunes agar diterima peminat. Baginya ini jalan terbaik untuknya mencipta populariti di persada seni tanah air.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");