Perak Hari Ini

WCP Ke-33 Subur Semangat Persaudaraan Dan Keamanan Dunia

nazrin poem

Kongres Penyair Sedunia (WCP) Ke-33 yang melabuhkan tirainya di Pulau Pangkor sebentar tadi berjaya menyubur semangat persaudaraan dan keamanan sedunia menerusi syair dan puisi yang bertemakan ‘1Dunia Menerusi Puisi’.

WCP berjaya menghimpunkan lebih 200 orang penyair dari 32 negara di Perak, sekaligus melakar sejarah sebagai acara antarabangsa paling banyak disertai oleh peserta negara luar.

Majlis penutup WCP Ke-33 yang berlangsung di Arena Square Pangkor disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Hadir sama, Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli.

Sementara itu, Zambry yang juga merangkap ADUN Pangkor turut mendeklamasikan sebuah puisi bertajuk ‘Bapaku’ yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris.

Di sebalik bait-bait puisi tersebut, beliau menggambarkan peranan puisi dan usaha para penyair dari seluruh dunia untuk mengukuhkan persahabatan serta keamanan dunia.

Seperti yang ditekankan oleh Zambry dalam puisinya, tema persahabatan dan keamanan ini turut diangkat oleh lebih 130 penyair menerusi antologi puisi yang dihasilkan.

Presiden WCP Ke-33, Wan Hua Chapoutier pula berkata, sebagai anak kelahiran Perak, beliau ingin memperkenalkan puisi tradisional Melayu seperti pantun kepada kesemua peserta.

“Kami bukan sahaja mahu berkongsi keunikan pantun tetapi juga sejarah, adat, makanan, bahasa dan tradisi Malaysia dengan para peserta WCP kali ini,” katanya.

Peserta WCP Ke-33 telah dibawa menjelajah lokasi-lokasi bersejarah dan tumpuan pelancong di negeri Perak seperti Lembah Warisan Lenggong, Gua Tempurung, Gerbang Malam, Lost World of Tambun dan Hutan Paya Bakau Matang.

Selepas Perak, WCP Ke-34 dijadual berlangsung di Lima, Peru dari 15 hingga 20 September 2014.

Sementara itu, anugerah ‘Dr Of Humanities’ telah dianugerahkan kepada Datuk Zainol Fadzli Paharudin dan Ratnawati Jamil.

WCP telah melabuhkan tirainya dan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) pula akan mengambil tempat hari ini dan dijadual berlangsung sehingga Ahad ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");