Sukan Hari Ini

Wee Wern ke suku akhir Terbuka AS

we wern

Pemain skuasy nombor dua negara, Low Wee Wern. – Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor:-

PEMAIN nombor dua negara, Low Wee Wern menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat 2013 di Philadelphia, pada Rabu.

Pada pelawanan peringkat suku akhir kedua yang diadakan di gelanggang kaca di Kline and Specter Squash Center di Drexel University, pemain nombor enam dunia berusia 23 tahun itu, menewaskan pemain nombor tiga dunia, Raneem El Weleily dari Mesir dalam perlawanan sengit lima set dengan 7-11, 11-8, 7-11, 11-9 dan 11-8, yang berlangsung selama 66 minit.

“Ia sememangnya, satu daripada kemenangan terbaik saya, tetapi saya tidak berasa tertekan ketika pertandingan, jadi saya hanya perlu cekal dan ia (kemenangan) seolah-olah memihak kepada saya hari ini,” kata Wee Wern yang dipetik dari laman sesawang kejohanan, www.usopensquash.com.

Beliau akan bertemu pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England pada separuh akhir.

Laura menempah tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Kasey Brown dari Australia dalam perlawanan empat set yang berlangsung selama 55 minit dengan 10-12, 11-4, 11-8 dan 11-5.

Pada Selasa, ratu skuasy negara yang pemain wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David melangkah ke separuh akhir kejohanan selepas menewaskan pemain Ireland, Madeline Perry pada peringkat suku akhir pertama.

Nicol akan menentang pemain New Zealand Joelle King, yang menewaskan pemain pilihan keempat Alison Waters dari England.

Perlawanan separuh akhir akan diadakan hari ini pada 5 petang waktu tempatan (5 pagi Jumaat, waktu Malaysia).

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");