Perak Hari Ini

YBUDR, NAPEP Bertukar Idea, Pengalaman Bantu Golongan Miskin

PERAK TODAY 2

Modul Tabung Bantuan Makanan dan Skim Mikro Kredit yang diperkenalkan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan terbaru kerajaan Nigeria menyatakan minat untuk mempraktikkan modul sama di negara benua Afrika itu.

Wakil delegasi dari The National Poverty Programme (NAPEP), Abu Bakar Abdul Rahman Waciko, berkata pihaknya cukup berminat untuk mempelajari pelaksanaan kedua-dua modul tersebut, sekaligus memberi idea untuk membantu rakyat yang miskin di Nigeria.

NAPEP katanya, telah diperkenalkan pada awal 2001 yang berperanan membantu rakyat dalam bidang pekerjaan, perumahan, industri, pendidikan dan kewangan.

Sebagai contoh, kira-kira 30 peratus belia di Nigeria katanya, masih menggangur kerana kurang peluang pekerjaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pejabat YBUDR yang beroperasi di Greentown, dekat Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR, Datuk Ismail Saffian dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA); Prof Dr Mohamed Aslam Mohamed Haneef dan Prof Dr Norma Md Saad.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, lawatan yang disertai 11 delegasi itu memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam isu menangani kemiskinan.

“Kerajaan Nigeria dapat berkongsi pengalaman YUBDR dalam mengurus tadbir serta menyalurkan bantuan kepada yang rakyat yang dihimpit kemiskinan,” tegasnya lagi.

Terdahulu, peserta diberi taklimat mengenai moto dan visi YBUDR yang berperanan merangka program-program untuk mengupayakan golongan keterbawahan di Perak.

Beliau juga berharap lawatan sebegini akan tetap diteruskan di masa akan datang.

Mengulas lawatan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata aktiviti sebegini cukup baik kerana kerajaan Nigeria boleh berkongsi pengalaman dan rancangan yang bakal dilaksanakan YBUDR.

“Kita mahu berkongsi pelbagai idea bersama kerajaan Nigeria dan ketika ini, beberapa modul yang diperkenalkan YBUDR sedang dikaji oleh UIA termasuklah Tabung Bantuan Makanan dan Skim Mikro Kredit,” ujarnya

Di sebelah petang, delegasi dibawa melawat dua usahawan YBUDR, Surinderjeet Kaur Chanan yang mengusahakan tanaman cili fertigasi dan Roslawati Sabri yang menjalankan perniagaan berasaskan besi sebagai pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan YBUDR.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");