Sukan Hari Ini

Zairul fokus sekat Alex, Gopi

ZAIRUL

“AWAS Alex dan Gopi! Kami mahu rantai pergerakan anda.”

Itu amaran tonggak pertahanan The Red Warriors, Zairul Fitree Ishak kepada kedua-dua pemain sayap Pahang itu menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 3 November ini.

Zairul Fitree menegaskan, tiada ruang bagi Azamuddin Mohd Akil atau dikenali Alex dan R Gopinathan untuk bergerak bebas kerana beliau dan rakan sepasukannya di benteng pertahanan cukup bersedia untuk merantai pergerakan dua pemain sayap lincah Tok Gajah itu.

Zairul Fitree berkata, kekuatan Pahang sebenarnya lebih bertumpu kepada kepantasan dimiliki dua pemain tersebut terutamanya Gopinathan yang dilihat mampu melakukan hantaran lintang berbahaya ke dalam kotak penalti.

“Senjata utama Pahang mendapatkan jaringan ialah menerusi hantaran silang. Mereka sudah buktikan apabila Mohd Fauzi Roslan menjaringkan gol menerusi tandukan ketika mengikat seri 1-1 dengan Sarawak dalam separuh akhir kedua tempoh hari.

“Saya percaya jika kami boleh menyekat pergerakan Alex dan Gopinathan, Kelantan akan mendominasi bahagian tengah. Ini yang akan kami lakukan ke atas mereka pada perlawanan akhir itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, meski pun Kelantan akan beraksi tanpa pemain import, Obinna Nwaneri namun beliau menegaskan itu bukan bermakna skuad kendalian Dollah Salleh itu mampu menembusi benteng pertahanan mereka dengan mudah.

“Ketiadaan Obinna memang begitu dirasakan tetapi kami tidak boleh terlalu memikirkan mengenai dia. Kami perlu lebih fokus dalam latihan dua tiga hari ini dan saya percaya pertahanan Kelantan tetap kebal sekali pun tanpa kelibatnya,” katanya.

Ketika ini, dua pemain iaitu Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dilihat calon paling hampir menjadi pilihan pengendali Kelantan, Bojan Hodak untuk menggantikan Obinna beraksi pada perlawanan akhir nanti.

Dalam pada itu, pemain pertahanan kiri berusia 28 tahun itu berkata, beliau mahu menutup saingan Liga Malaysia musim ini dengan menjulang kejuaraan kali ketiga pada penampilan keempat pasukannya di pentas final Piala Malaysia.

“Memenangi Piala Malaysia adalah detik terindah bagi karier seorang pemain bola sepak. Setelah mendakap kejuaraan pada 2010 dan musim lalu, saya mahu memastikan piala tersebut kekal di Kota Bharu tahun depan,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");