Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil menafikan beliau sengaja menyembunyikan dokumen untuk mengelirukan mahkamah berhubung keahlian SENIMAN.
Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, Zed Zaidi bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam, Wan Rohimi Wan Daud bahawa satu-satunya cara untuk menunjukkan keahlian persatuan adalah dengan mengemukakan kepada mahkamah pangkalan data dan borang keahlian.
Simpan borang ahli SENIMAN
Menjawab soalan Wan Rohimi sama ada beliau bersetuju borang itu tidak dikemukakan di mahkamah dalam kes tuntutan saman oleh anak guamnya yang terdiri daripada lima artis veteran terhadap SENIMAN, Zed Zaidi menjawab, ‘Ya’.
Zed Zaidi juga bersetuju dengan cadangan Wan Rohimi bahawa beliau selaku Presiden SENIMAN dan persatuan itu adalah bertanggungjawab untuk menyimpan borang ahli.
Pada 22 Februari lalu, lima artis veteran iaitu Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang, memfailkan saman terhadap SENIMAN dan tujuh individu yang lain.
– BERITA HARIAN