Sukan Hari Ini

Zulfahmi tekad ulangi aksi mantap GP Jepun musim lalu

zulfahmi

Kuala Lumpur: Keputusan baik yang dicapai di Grand Prix Jepun, musim lalu mahu diulangi penunggang Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin sambil memasang keyakinan, sesuatu mampu dicapai di salah satu litar kegemarannya dalam kalendar MotoGP itu.

Sekalipun masih belum 100 peratus pulih daripada kecederaan, penunggang pasukan Red Bull KTM Ajo itu optimis kesakitan tidak lagi menjadi penghalang untuknya mencapai sasaran 10 tempat terbaik di Litar Motegi.

“Tahun lalu segala-galanya berjalan dengan baik buat kami di sini,” kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu. “Kami mengharungi minggu yang baik ketika sesi latihan, kelayakan dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima selepas memulakan perlumbaan di petak keempat.

“Tetapi kali ini saya pergi ke Jepun dengan keadaan hampir pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan sekalipun belum 100 peratus pulih, saya akan berusaha keras untuk mengulangi pencapaian musim lalu. Lagipun, Motegi salah satu litar yang saya gemari dalam kalendar MotoGP.”

Apa yang pasti, tiga perlumbaan dalam masa tiga minggu sejak GP Malaysia jelas sesuatu yang sukar terutama buat Zulfahmi yang berdepan kecederaan teruk termasuk retak pergelangan tangan kanan dan belakang selepas terjatuh di GP Aragon.

Perlumbaan kedua terakhir

Kecederaan itu jelas mengganggunya sekali gus menyebabkannya gagal beraksi di Sepang namun bangkit di Australia untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 pada hari lahir ke-22 minggu lalu.

“Saya harap dapat memperagakan tunggangan terbaik minggu ini sekali gus meneruskan prestasi memberangsangkan dari Phillip Island. Perlumbaan di Australia itu juga adalah antara minggu terbaik saya tahun ini.”

GP Jepun adalah perlumbaan kedua terakhir dalam kalendar MotoGP yang bakal mengakhiri saingan musim ini di Valencia, Sepanyol, 10 November depan.

Zulfahmi ketika ini berada di kedudukan ke-10 kategori penunggang selepas mengumpul 65 mata manakala rakan sepasukannya, Luis Salom mengungguli carta pendahulu dengan mengumpul 300 mata.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");