Perak Hari Ini

10 Kutu Rayau, Ulat Parkir Sekitar Ipoh Positif Dadah

rosnah (1)

Seramai 10 kutu rayau dan ulat parkir yang ditahan dalam operasi membanteras kutu rayau oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan beberapa agensi penguatkuasa di sekitar bandaraya Ipoh lewat malam tadi, didapati positif dadah.

Dalam operasi selama dua jam bermula 10 malam itu, mereka adalah antara 43 kutu rayau dan ulat parkir yang ditahan di lima lokasi berasingan termasuk di Gerbang Malam, Jalan Mustaffa Al-Bakri, Jalan Yau Tet Shin, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak dan Ipoh River Front.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, operasi tersebut dilakukan bagi menjaga imej bandaraya Ipoh selain memantau kegiatan ulat parkir yang semakin berleluasa.

Katanya, operasi tersebut turut mendapat bantuan daripada 130 anggota yang terdiri daripada pasukan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)dan Jabatan Imigresen Negeri.

“Kesemua gelandangan yang didapati positif dadah adalah warga tempatan termasuk seorang wanita dan kesemua mereka ini akan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

“Manakala selebihnya seperti pengemis atau kutu rayau akan disiasat latar belakang mereka dan jika berkeluarga, mereka akan dibebaskan.

“Bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas pula, kita akan pastikan mereka ditempatkan di Rumah Seri Kenangan,” jelasnya kepada pemberita.

Tambah Rusnah, kegiatan pengusaha parkir secara haram menjejaskan nama serta imej negeri Perak sebagai tempat pelancongan terutama kepada pengunjung luar.

“Kita terima banyak aduan berhubung kegiatan mengusahakan parkir secara haram kerana caj yang dikenakan sangat mahal berbanding yang sepatutnya.

“Apabila pengunjung samada tempatan mahupun luar, mereka terpaksa membayar parkir kereta sebanyak dua kali iaitu kepada MBI melalui kupon dan ulat parkir haram, sekaligus merosakkan imej Ipoh,” ujar beliau lagi.

Beliau berharap agar pengusaha parkir haram ini akan menghentikan segera kegiatan yang dilakukan setelah tindakan undang-undang diambil.

“Disebabkan khuatir dengan keselamatan diri atau kenderaan, kita terpaksa bayar dan situasi ini sebenarnya menggalakkan lagi aktiviti haram mereka.

“Jadi, kita akan lakukan operasi secara kerap supaya kegiatan mereka dapat dibanteras sekaligus menjaga nama baik negeri memandangkan 2014  adalah Tahun Melawat Malaysia,” kata Rusnah.

Jelas beliau lagi, walaupun kebanyakan daripada golongan itu tidak menganggu orang awam, namun kehadiran mereka yang berkumpul di tempat-tempat tumpuan pelancong mencemar keindahan bandar raya di kaca mata pelancong asing.

Sementara itu, seorang bekas banduan juga turut ditahan dalam operasi tersebut di kawasan Flat Kinta Height.

Ketika ditemui, Nasri Shafie @ Awang, 41, yang patah tangan kiri, berasa terkejut dan tidak menyangka akan ditahan sekali lagi memandangkan dia baru sahaja dilepaskan hari ini selepas ditahan lima di Penjara Tapah.

Katanya, sejak dilepaskan dari tengah hari sehingga ditahan, dia yang berasal dari Sungai Petani itu tidak sempat menjamah apa jua makanan kerana tidak mempunyai wang.

“Keluarga saya semuanya berada di Sungai Petani dan saya masih lagi bujang.

“Ini kali kedua saya dimasukkan dalam penjara disebabkan kes ganja dan kali ini, selepas dilakukan ujian air kencing, tiada tanda positif dadah dan saya dilepaskan.

“Sungguh tidak jangka kerana gambar saya juga diambil hari ini,” ujar Nasri Shafie yang kemudiannya dibawa bersama mereka yang lain untuk diberi bantuan yang sewajarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");