Jenayah

2 diisytihar muflis selepas jual kereta

muflis

Kuala Lumpur: Gara-gara ingin menukar kereta baru, dua lelaki diisytihar muflis kerana gagal melangsaikan ansuran bulanan pinjaman kereta dengan pihak bank walaupun kereta berkenaan sudah dijual kepada orang ketiga.

Kejadian itu mula disedari mangsa selepas mereka menerima lebih 15 saman trafik bagi pelbagai kesalahan jalan raya yang tertera nama serta nombor pendaftaran kereta lama yang masih menggunakan nama mereka.

Lebih malang apabila mangsa yang membuat pemeriksaan di bank dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapat tahu urusan pindah milik nama kenderaan tidak pernah dilakukan dan terpaksa menanggung hutang berkenaan.

Mangsa Tee Ching Swee, 49, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, akibat terpedaya dengan seorang lelaki mengaku ejen penjual kereta terpakai, dia mengalami kerugian RM80,000 apabila pemilik baru kereta Toyota Camry yang dijualnya awal tahun lalu tidak menyambung bayaran pinjaman bank selain melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.

“Surat saman pertama saya terima bertarikh 2 Julai tahun lalu sebelum beberapa keping surat lagi bulan berikutnya sehingga penghujung tahun. Curiga dengan keadaan itu, saya membuat pemeriksaan di JPJ dan mereka memaklumkan kereta itu masih menggunakan nama saya.

“Saya juga membuat pemeriksaan dengan pihak bank, tapi mereka maklumkan saya mempunyai tunggakan ansuran bulanan yang tidak dijelaskan,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Ching berkata, menyedari dirinya ditipu, dia berjumpa ejen terbabit meminta penjelasan, namun gagal kerana kerana lelaki itu memaklumkan keretanya sudah dijual kepada pihak ketiga. Dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melang, Kuala Pilah.

Sementara itu, Tan Keat An, 39, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang pula berkata, selepas ejen kereta terpakai menjual kereta Toyota Wish miliknya kepada individu ketiga, dia mengalami kerugian kira-kira RM110,000 selepas individu terbabit tidak menjelaskan ansuran bulanan bank selepas setahun membelinya.

Akibat tindakan itu, dia terpaksa menanggung bebanan hutang selain urusan perniagaannya turut mengalami masalah selepas diisytihar muflis.

“Sudahlah menanggung beban hutang bank, kini saya juga mempunyai rekod buruk dengan pihak polis apabila menerima banyak surat saman bagi kesalahan memandu laju.

“Saya harap sesiapa yang ternampak kereta Toyota Wish warna kelabu bernombor plat PJH81XX segera melaporkannya kepada polis,” katanya.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, sejak Januari 2012 hingga Oktober tahun ini, pihaknya menerima lapan aduan berhubung kes yang sama. Orang ramai supaya berhati-hati ketika berurusan dengan ejen menjual kereta terpakai.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");