Isu Panas

351 penduduk Sungai Limau sertai Umno

prk sg limau

YAN – Sejumlah 351 orang, termasuk anggota dan penyokong Pas dari lima cawangan dekat sini menyertai Umno kerana percaya parti itu mampu membawa perubahan kepada penduduk di kawasan Dun Sungai Limau.

Borang keanggotaan mereka diserahkan wakil setiap cawangan dari Kampung Permatang Keramat, Kampung Klinik, Kampung Sungai Limau Dalam, Kampung Titi Simen dan Kampung Tok Rama kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Umno bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, di Kampung Kabu 10, dekat sini, semalam.

Wakil Kampung Tok Rama, Siti Aishah Ismail, 31, berkata mereka membuat keputusan menyertai Umno kerana mahukan pembangunan dan perubahan selepas berada di bawah kepimpinan Pas sejak pilihan raya umum 1995.

Mohd Shabri Abdul Wahab, 50, pula berkata Umno merupakan parti yang banyak memberi bantuan dan sering mendengar masalah rakyat.

Beliau yang menyertai Pas sejak 30 tahun lepas berkata masalah mereka tidak pernah diambil peduli oleh Pas sehinggalah Jamil Khir turun bertemu serta menanyakan masalah yang mereka hadapi.

“Lima tahun yang lepas saya cuba membawa perkara ini kepada Pas tetapi gagal. Saya terus cari tempat saya boleh mengadu,” kata Mohd Shabri dalam nada sebak.

Sementara itu, Jamil Khir berkata penyertaan mereka ke dalam Umno itu merupakan momentum baharu dan petanda baik kepada BN dalam PRK Dun Sungai Limau Isnin ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan penubuhan lima cawangan Umno baharu iaitu di Kampung Permatang Keramat, Kampung Klinik, Kampung Sungai Limau Dalam, Kampung Titi Simen dan Kampung Tok Rama.

Sementara itu di Rumah Kelantan, Batu 16, Padang Lumat dekat sini, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menerima borang keanggotaan daripada 20 anggota Pas yang ingin menyertai Umno.

Jurucakap mereka, Azizan Omar, 36, berkata mereka menganggotai Pas lebih 10 tahun dan kini merasakan Umno dapat membantu mempertingkatkan taraf hidup mereka.

Azizan dan tujuh anggota keluarga, termasuk ibunya, Maimunah Main, 60, adalah anggota Pas bahagian Batu 16 Padang Lumat dan mendakwa bersaudara dengan bekas Adun Sungai Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Sementara itu Ahmad berkata penyertaan 20 anggota Pas ke dalam Umno merupakan petanda baik kepada Umno pada saat-saat terakhir menjelang pilihan raya kecil Isnin ini.

“Saya merasakan akan lebih ramai ahli Pas sertai kami kerana satu perubahan yang besar berlaku di Kedah dengan Menteri Besar sekarang Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir,” katanya kepada pemberita pada majlis itu.

Ahmad berkata Jamil Khir juga menarik perhatian anggota Pas untuk menyertai Umno kerana beliau juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");