Jenayah

4 sekeluarga dihukum penjara

dipenjara

Ibu saudara mangsa diletakkan di bawah jagaan penjara

Georgetown: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara satu tahun ke atas empat sekeluarga selepas didapati menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa dirasuk hantu, tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim mengarahkan ibu bapa kanak-kanak itu, Chua Seng Ban dan Lim She Lee, kedua-duanya berusia 36 tahun, dan bapa saudara mangsa, Chua Seng Hoo, 30, dipenjara bermula Jumaat ini.

Ibu saudara kanak-kanak itu, Chua Ah Luan, 41, pula dibebaskan tetapi diperintah diletakkan di bawah jagaan Penjara Pulau Pinang dengan perkenan Yang di-Pertua Negeri, bermula semalam.

Tidak siuman

Zamani berkata, Ah Luan didapati tidak bersalah atas alasan tidak siuman ketika kejadian.

“Laporan pakar psikiatri yang diperakui, dikemukakan kepada mahkamah sebelum perbicaraan menyimpulkan bahawa Ah Luan menunjukkan mempunyai tanda skizofrenia dan dia tidak sedar akan perbuatannya pada hari kejadian.
“Bagaimanapun, laporan itu juga menyatakan keadaan mentalnya adalah stabil dan wajar dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Zamani turut memutuskan Seng Ban dan isterinya dipenjara satu tahun atas satu pertuduhan berasingan dengan hukuman dijalankan serentak.

Pihak pendakwaan sebelum ini membuat rayuan selepas mendakwa hukuman diputuskan Mahkamah Sesyen Butterworth ke atas keempat-empat tertuduh tidak memadai.

Keempat-empat tertuduh sebelum ini didenda RM10,000 kerana menyebabkan kematian Chua Wan Xuen, yang ketika itu berusia dua tahun sembilan bulan di rumah mereka di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, antara jam 7.50 malam dan 10.52 malam, 5 Ogos tahun lalu.

Ibu bapa kanak-kanak itu juga didenda RM5,000 dalam pertuduhan berasingan kerana mendedahkan anak mereka kepada kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Keempat-empat tertuduh diwakili CP Ang manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");