Perak Hari Ini

543 Murid, Pelajar Miskin Terima Biasiswa Kecil Negeri Perak

aminexco

Sejak 1994, seramai 543 pelajar miskin di seluruh Perak menerima bantuan menerusi skim Biasiswa Kecil Negeri Perak membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM232,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mohd Amin Zakaria (BN-Batu Kurau) berkata, skim itu terbuka kepada pelajar dan murid miskin yang menunjukkan potensi cemerlang dalam pelajaran.

“Setiap tahun, kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak menyalurkan peruntukan RM84,000 untuk skim terbabit dan setakat ini, sejumlah RM232,000 sudah dibelanjakan bagi tujuan tersebut.

“Untuk katogeri sekolah rendah, skim ini membabitkan murid yang belajar di Tahun 2 hingga Tahun 6 manakala untuk sekolah menengah pula, penerima skim menuntut di Tingkatan 1 hingga 5 di mana-mana sekolah bantuan kerajaan.

“Daripada 543 penerima skim itu, seramai 231 penerima ialah murid di sekolah rendah dan bakinya pelajar sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdullah Fauzi Datuk Ahmad Razal (BN-Kampung Gajah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di Ipoh, hari ini.

Mohd Amin menjelaskan untuk katogeri sekolah rendah, murid yang terpilih menerima biasiswa berjumlah RM360 setahun manakala pelajar sekolah menengah pula menerima bantuan berjumlah RM480 setahun.

Manakala mengikut pecahan kaum pula, 61 daripadanya ialah penerima kaum Cina, diikuti 91 kaum India dan bakinya murid dan pelajar Melayu, tegasnya lagi.

Menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (DAP-Canning) yang mencadangkan kerajaan negeri menawarkan skim itu kepada sekolah Cina persendirian dan sekolah agama serta mengkaji semula kadar siling pendapatan isu rumah RM1,500 sebulan yang ditetapkan, Mohd Amin menegaskan, Yayasan Perak menggunapakai kaedah yang disalurkan pihak sekolah menerusi Jabatan Pendidikan negeri.

“Kedua-dua cadangan ini akan dipanjangkan dan dipertimbangkan untuk pengetahuan kerajaan negeri selepas ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");