Jenayah

6 belasah peladang, curi lembu

jenayah

Ternakan dipercayai diangkat menggunakan kenderaan berat

Masjid Tanah: Seorang pekerja ladang ternakan lembu di Kuala Sungai Baru, dekat sini, berdepan detik cemas awal pagi kelmarin, apabila diserang sekumpulan penjenayah sebelum dibelasah dan diikat.

Kejadian berlaku jam 2 pagi, ketika mangsa, Lau Yu Nyan, 57, nyenyak tidur sebelum terjaga apabila didatangi kumpulan terbabit ke rumah kongsi yang didiaminya dengan mengetuk kuat pintu masuk.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuka pintu rumah itu, sebelum mendapati sekumpulan enam lelaki tidak dikenali berdiri di hadapannya, sambil seorang daripada mereka secara tiba-tiba meletakkan parang di lehernya.

Diacu parang

Ketika ditemui di lokasi kejadian, mangsa berkata, ketika diacu dengan parang, lelaki terbabit terus memberi amaran kepadanya supaya tidak melawan, sebelum ditendang masuk ke rumah.

“Dia minta saya menyerahkan telefon bimbit tetapi saya cakap tidak ada. Seperti tidak berpuas hati, dia kemudian mengikat pula kedua-dua tangan ke belakang dengan tali manakala kedua-dua kaki saya pula dengan wayar,” katanya.
Lembu dihalau

Yu Nyan berkata, seorang daripada ahli kumpulan itu, kemudian mengarahkan beliau menyerahkan kunci pagar utama ke kawasan ladang ternakan lembu.

Katanya, dalam keadaan ketakutan, beliau memaklumkan kunci itu diletakkan dalam bakul motosikal yang diletak di bawah rumah kongsi.

“Saya dengar bunyi pintu pagar utama ladang dibuka diikuti bunyi kenderaan berat masuk ke dalam kawasan ladang ternakan lembu disusuli bunyi bising lembu dihalau dari kandang,” katanya.

Beliau berkata, mereka kemudian memintanya menyerahkan kunci motosikal yang ada di rumah itu.

“Selepas terdengar bunyi lembu dinaikkan ke atas kenderaan berat itu, seorang dari mereka beredar dengan menunggang motosikal Yamaha SRE milik majikan,” katanya.

Yun Nyan berkata, beliau berjaya melepaskan diri kira-kira jam 3.30 pagi, sebelum membuat aduan kepada polis.

Selain sejumlah lembu, katanya, kumpulan perompak itu turut melarikan wang tunai RM200 miliknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");