Berita Hari Ini

Agong kurnia 282 darjah kebesaran

agong14_02

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan kepada 282 penerima sempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 1 Jun lepas.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat itu yang berlangsung di Istana Negara di sini.

Mendahului senarai penerima darjah hari ini ialah Pengerusi Eksekutif Wawasan TKH Holdings Bhd yang juga Penasihat MCA Wilayah Persekutuan Tan Sri Tan Kim Hor yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Turut menerima darjah PSM ialah Pengerusi Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam Tan Sri R. Nadraja dan Bendahari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri Yit Ming Yik @ Yek Min Ek.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada 12 penerima.

Mereka ialah Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Gulam Hussin Gulam Haniff; Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun; Pengerusi Eksekutif Komconsult Sdn Bhd Datuk Awalan Abdul Aziz; Pengarah Urusan Yeo Hiap Seng Berhad Datuk Tan Teow Choon; Ahli Majlis Penasihat Parti Pertubuhan Pasokmomugun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Tuanku Balanggung dan Anggota Jawatankuasa Perhubungan Umno Perak Datuk Mohd Hashim Daud.

Enam lagi penerima ialah Naib Pengerusi Gerakan Datuk Yap Kau @ Yap Yeow Ho; Pengarah Eksekutif Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim; Penasihat Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Datuk Dr C. M. Devanand; Anggota Majlis Tertinggi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) William Tanyuh anak Nub; Pengarah Urusan Poh Huat Resources Holdings Sdn Bhd Datuk Chai Meng Kui dan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC Datuk R. R. Moorthy.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada tiga penerima iaitu Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib; Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Jabatan Kerja Raya Malaysia Datuk Mohd Fazli Osman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Putatan Datin Sharifah Habsah Habib Alawi.

Selain itu Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada 19 penerima, darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 33 penerima, Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 90 penerima dan Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 122 penerima.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");