Jenayah

Ajal terbakar, lecur bersama

terbakar di rumah

IPOH – Seorang ibu dan anak lelakinya maut apabila rumah teres dua tingkat didiami mereka di Jalan Devadason, Taman Ipoh di sini terbakar pagi semalam.

Ketua Zon 1 Balai Bomba Penyelamat Ipoh, Ruhisha Haris berkata, ketika ditemui, mangsa, Lau Yoke Yee, 75, dan anak lelakinya Stephen Loo Pei Yee, 41, 100 peratus melecur akibat terbakar namun tidak rentung.

Menurutnya, Stephen ditemui di bahagian tangga tingkat atas rumah manakala ibunya, ditemui di tepi bilik air utama rumah tersebut.

Ruhisha berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran itu bermula dari bahagian bawah rumah dan terus merebak ke tingkat atas dalam tempoh singkat.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, pihak kami dapati rumah berkenaan telah 90 peratus terbakar selain api di dalam rumah itu berada pada tahap tiga, iaitu telah reda namun kebakaran masih berlaku.

“Kebakaran paling teruk di bahagian tangga tingkat bawah, manakala bahagian dapur dan sebuah bilik di kediaman tersebut tidak terbakar,” katanya.

Ruhisha berkata, kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya pada jam 8.35 pagi sebelum bahagian forensik memulakan siasatan.

“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan satu dari Simpang Pulai ke tempat kejadian dengan 24 anggota serta tiga pegawai sebaik sahaja menerima maklumat pada 8.18 pagi,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Menurutnya, unit forensik masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian dialami.

Sementara itu, jiran mangsa, Wong Foo Sang, 63, berkata, dia dan ahli keluarganya menyedari kebakaran itu selepas mendengar satu letupan.

Katanya, mereka sekeluarga segera keluar dan melihat api marak di rumah bersebelahan.

“Saya turut mendengar jeritan anak lelakinya (Stephen) meminta tolong beberapa kali sebelum suara itu tiba-tiba menjadi sayu dan tidak kedengaran lagi.

“Saya segera menjerit memberitahu jiran supaya keluar menyelamatkan diri kerana bimbang api akan merebak ke rumah berhampiran sebelum bergegas ke Balai Bomba Ipoh untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Dia yang sudah 10 tahun menetap di situ mendakwa beberapa kali menyelamatkan dua beranak terbabit daripada menjadi mangsa kebakaran sebelum ini.

“Stephen pernah bekerja di bank di kawasan berhampiran namun selepas berhenti kerja sikapnya berubah dan sering melakukan perkara-perkara di luar dugaan.

“Dia pernah menyimbah minyak tanah dan membakar sampah di rumah tetapi mujur saya menyedarinya dan segera membantu memadam kebakaran itu,” katanya.

Difahamkan, Yoke Yee mempunyai masalah untuk bergerak manakala Stephen pula mengalami masalah kemurungan.

Bekas jururawat itu turut mempunyai seorang anak lelaki yang bekerja sebagai juruterbang di Singapura.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");