Perak Hari Ini

Akta Gangguan Seksual Perlu Diwujudkan: Rusnah

PERAKTODAY DUN13- 8Exco Pembangunan Wanita negeri, Datuk Rusnah Kassim mencadangkan agar akta gangguan seksual diwujudkan bagi menjaga kesejahteraan wanita di Perak khususnya dan seluruh negara amnya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Majlis Pembangunan Wanita (MPW) negeri memperjuangkan isu tersebut kerana setakat ini, hanya peruntukan kod digunapakai dalam kes gangguan seksual terhadap golongan wanita.

“Gangguan seksual bukan membabitkan kaum wanita sahaja kerana isunya kini lelaki turut menjadi mangsa,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan A Sivanesan (DAP-Sungkai) berhubung kes gangguan seksual terhadap wanita yang dilaporkan di Perak, setakat ini.

Rusnah menjelaskan beliau memerlukan masa untuk mendapatkan statistik tersebut memandangkan soalan yang diajukan itu diberi tanpa notis.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Chua Yee Ling (PKR-Kuala Sepetang) Rusnah berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Pembangunan dan Pengupayaan Wanita yang kini sudah beroperasi sepenuhnya.

“Kita menekankan kepada lima aspek dan peranan utamanya adalah membantu kerajaan negeri ‘mengarus perdana’ isu gender dalam dasar dan program kerajaan atau swasta supaya kesaksamaan gender boleh dicapai,” katanya.

Ujarnya lagi, terdapat dua program teras yang akan dilaksanakan membabitkan aktiviti kesedaran untuk wanita atau lelaki berkaitan konsep gender.

“Lima pendekatan yang dirancang pula ialah wanita dan kepimpinan, wanita dan kesihatan, wanita dan keusahawanan, wanita dan keluarga dan wanita dan jenayah,” tambah beliau lagi.

Jelasnya, pendekatan itu akan memberi keutamaan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan akhlak.

“Peruntukan sebanyak RM2 juta dalam Bajet 2014 yang disediakan kerajaan negeri mempunyai perpecahan tersendiri dan ia bukan bermaksud mengikut jantina tetapi secara keseluruhannya,” tambah Rusnah lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri supaya tidak lagi membangunkan wanita dengan cara memberi geran dalam bentuk wang ringgit kepada NGO wanita yang terpilih.

Ujarnya, perlu ada program-program bersepadu yang mampu meningkatkan pembangunan wanita selain daripada pemberian wang ringgit.

“Peruntukan berbentuk kewangan tidak akan menambahbaik kedudukan wanita tetapi peruntukan tersebut bakal habis begitu sahaja. oleh itu, kita perlu ada perancangan yang lebih terperinci,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");