Isu Panas

Ancaman Syiah semakin serius

SYIAH

KOTA BHARU – Penularan ajaran Syiah di Malaysia kini serius apabila ia bukan sahaja mengancam akidah dan syariah umat Islam, malah menjejaskan keharmonian amalan ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Dr Zamihan Md Zain berkata, situasi itu mengundang keresahan apabila secara tidak langsung turut menggugat perpaduan masyarakat.

“Ancaman yang serius apabila adik-beradik, ipar-duai dan jiran tetangga sanggup bergaduh kerana ajaran ini, dan tidak mustahil ia akan lebih teruk jika tidak ditegah,” katanya kepada media selepas menyampaikan seminar ‘Bahaya Ajaran dan Fahaman Syiah Dalam Masyarakat Islam di Malaysia’ di sini, semalam.

Majlis dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu turut menghimpunkan pegawai dan kakitangan masjid dari seluruh negeri ini.

Mengulas lanjut, Zamihan berkata, rujukan dokumen Majlis Syura Syiah Malaysia mendapati antara 200,000 hingga 300,000 daripada rakyat negara ini dalam kalangan pengikut fahaman Syiah.

Menurutnya, jika diberi perhatian terhadap angka itu, ada kewajarannya apabila tinjauan di bandar besar mendapati terdapat lebih 18 premis Syiah yang masih lagi aktif dan beroperasi seperti biasa, namun agak perlahan selepas isu itu disensasikan media.

“Ahli akademi, pensyarah dan golongan tertentu yang memahami Syiah dari sudut latar belakang pendidikan mereka sejak awal antara kumpulan paling ramai mengikuti ajaran ini,” katanya.

Sambil menyarankan agar Jabatan Agama Islam mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat, Zamihan berkata, pengharaman buku Syiah, selain mewartakan fahaman itu sebagai pertubuhan haram antara langkah membendung penularan fahaman itu.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz mengingatkan agar mendaulatkan Islam dan tidak sekali-kali mendaulatkan bangsa, selain akui penularan fahaman Syiah dalam negara ketika ini disebabkan kealpaan umat Islam.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");