Membawang Hari Ini

Artis layan pelajar sindrom down, autisme

artis layan pelajar sindrom down

Penyanyi baru bersama pemilik restoran rai warga pendidikan khas SMK Desa Perdana

Keprihatinan golongan korporat untuk bersama meraikan insan kurang upaya dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial yang harus dipuji. Malah, pembabitan artis yang sanggup meluangkan masa dengan turun padang menjayakan program sedemikian dilihat sebagai contoh yang wajar diberi pujian, sekali gus memberi peluang mereka mendekatkan diri dengan peminat.

Menyahut seruan inilah, pemilik Restoran Haslinda Sim Abdullah, Datin Haslinda Sim Abdullah mengadakan program amal bersama 80 pelajar pendidikan khas di SMK Desa Perdana, Taman Desa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Melihat diri pelajar ini juga menaikkan semangat saya untuk terus berjuang dalam industri seni dan tidak akan sesekali akan lemah semangat untuk menjadi penyanyi berjaya.” Ayu, Penyanyi

Malah, ia turut menyaksikan artis seperti Ayu OIAM, Elveena dan Azmir Arif antara yang sering bersama turun padang untuk program seperti itu, kali ini bersama Haslinda Sim dalam menjayakan acara amal seperti ini. Malah, program kali ini turut menyaksikan seorang lagi bakat baru, Wani hadir sama menyerikan acara.

Walaupun sekadar majlis makan tengah hari yang dianjurkan restoran yang terletak di Bandar Baru Bangi ini, namun ia cukup meriah apatah lagi barisan selebriti ini pandai melayan kerenah pelajar yang mengalami masalah sindrom down, autisme dan hiperaktif. Turut bersama, beberapa pelajar yang mengalami cacat pendengaran. Bagi Ayu, dia seronok kerana dalam masa sama sempat belajar bahasa isyarat dengan pelajar yang mengalami masalah pendengaran.

Belajar bahasa isyarat
“Saya sempat belajar beberapa bahasa isyarat yang mudah yang sering digunakan dalam pertuturan seharian. Untuk belajar bahasa ini bukannya mudah kerana banyak langkah yang perlu diingati.

Tapi saya kagum melihat mereka yang tergolong dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) ini kerana walaupun dalam kekurangan, mereka tidak memperlihatkan kelemahan diri sebaliknya terus bersaing dengan yang kita yang sempurna ini,” katanya.

Malah, pada majlis makan tengah hari itu turut dihadiri pemenang pingat emas dalam acara catur, Ahmad Nazmi Md Nizam, 14, di Sukan Para Asia Remaja 2013 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur. Semangat inilah yang membuatkan penyanyi, Azmir Arif berasa kagum.

“Walaupun OKU, tapi saya lihat dalam diri pelajar yang hadir ini semuanya mempunyai semangat tinggi dan tidak menunjukkan kelemahan pada diri mereka.

Kalaulah Adik Nazmi itu tidak mempunyai semangat yang tinggi tentunya dia tidak mampu mengharungi tekanan yang tinggi kerana bersaing dengan peserta dari negara Asia lain. Tapi dia membuktikannya dengan menang pingat emas.

“Melihat diri pelajar ini juga menaikkan semangat saya untuk terus berjuang dalam industri seni dan tidak akan sesekali akan lemah semangat untuk menjadi penyanyi berjaya,” katanya.

Elveena Ratu Amal
Sementara itu, Elveena yang sememangnya wajar diberi jolokan Ratu Amal kerana sering menghadiri program amal anjuran badan korporat, sekali pun dia juga bakat baru dalam industri seni suara terharu kerana dijemput untuk bersama meraikan warga pendidikan khas dari SMK Desa Perdana.

“Apabila dapat menjayakan program amal seperti ini, hati saya berasa puas. Sebagai artis, kita tidak harus pandang kepada kerjaya yang diceburi saja, sebaliknya memandang ke belakang kerana masih ramai lagi insan kurang berkemampuan untuk kita bantu dan prihatin. Walaupun tidak membantu dengan wang ringgit, tapi kehadiran artis dalam majlis amal seperti ini dapat menceriakan mereka itu sudah memadai,” katanya yang turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai kepada pihak sekolah.

Selami kehidupan OKU
Bagi Wani pula, ajakan teman baiknya, Ayu OIAM membawanya untuk turut sama menyelami kehidupan pelajar OKU.

“Bagi saya ini adalah peluang untuk melakukan kerja amal. Lagipun sebagai pendatang baru, program seperti inilah yang perlu saya dekati dan turut serta. Menyelami kehidupan pelajar yang kelainan upaya ini suatu yang menyeronokkan kerana banyak perkara yang dapat saya belajar terutama semangat mereka untuk berjaya,” katanya yang pernah tampil berduet dengan komposer Eddie Hamid dengan lagu Akur Janji.

Sebagai tulang belakang kerana majlis amal ini, Haslinda Sim antara yang bertungkus-lumus sejak awal pagi lagi untuk memastikan kelancaran majlis.

“Memang setiap tahun saya menaja mereka dari segi makanan untuk setiap program yang mereka adakan. Tapi tahun ini saya mengambil keberkatan dalam perayaan Aidiladha untuk mengadakan majlis ini. Lagipun anak saya juga bersekolah di sekolah sama. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk turut sama menjayakan program yang dianjurkan pihak sekolah,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");