Berita Hari Ini

Balu Anggota Polis Terkorban Di Lahad Datu Terima Ijazah Suami Di Konvokesyen UUM

uum

ALOR SETAR: Pegawai polis yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Lahad Datu, ASP Zulkifli Mamat merupakan antara penerima Ijazah Sarjana Muda pada majlis konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-26 bermula 30 November ini.

Isteri Allahyarham, Noraziah Noor akan menerima Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) pada hari kedua konvokesyen pada 1 Disember.

Allahyarham merupakan anggota Pasukan Komando VAT yang 69 terkorban pada 1 Mac lalu dalam pertempuran dengan pengganas.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata Allahyarham baru sahaja menamatkan pengajian ketika berangkat ke Lahad Datu.

“Seramai 7,445 bakal menerima ijazah (termasuk seorang penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah) pada sidang konvensyen selama empat hari itu yang berlangsung dalam lapan sesi sehingga 3 Dis,” katanya dalam sidang media di sini Ahad.

Daripada jumlah itu, seramai 94 orang akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doktor Pentadbiran (DBA) (19), Sarjana (1,069), Diploma Siswazah (47), Sarjana Muda (5,803) dan Diploma Lepas Ijazah (412).

Beliau berkata Pro Canselor UUM Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Undang-Undang).

Katanya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UUM berkenan berangkat untuk menyampaikan anugerah di Dewan Mu’adzam Shah, Kampus Sintok pada sesi pertama.

“Konvokesyen kali ini cukup istimewa dengan penerima ijazah terdiri dari kalangan Speaker Dewan, timbalan menteri, Anggota Dewan Undangan Negeri dan penggiat seni,” katanya.

Mohamed Mustafa berkata 249 orang daripada 5,803 penerima ijazah Sarjana Muda memperolehi keputusan cemerlang Kelas Pertama.

Seramai 420 graduan luar negara dari 22 negara yang mengikuti pengajian di UUM akan turut menerima ijazah.

Beliau berkata sebanyak 15 anugerah dan hadiah akan diberikan kepada 316 graduan dan seorang graduan akan menerima Pingat Emas Canselor dan dua graduan menerima Anugerah Pelajar DiRaja.

Seramai 40 graduan bakal menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor yang diperkenalkan sejak 1988 manakala 258 lagi Anugerah Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Sempena konvokesyen itu, UUM menganjurkan ekspo konvo mulai 27 November hingga 3 Disember dengan mendirikan 230 gerai yang menjual pelbagai barangan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");