Berita Hari Ini

Bantu mangsa Taufan Haiyan

BANTUAN

PORT DICKSON – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sudah bersiap sedia sekiranya perkhidmatan agensi itu diperlukan dalam membantu misi keselamatan mangsa Taufan Haiyan yang membadai Filipina.

Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Datuk Sulaiman Keling berkata, JPAM sentiasa bersiap sedia dari aspek keanggotaan dan peralatan dalam membantu misi keselamatan mangsa Taufan Haiyan.

“Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang arahan untuk berbuat demikian, namun sebaik sahaja arahan dikeluarkan melalui Wisma Putera dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) , JPAM sudah bersiap sedia dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“JPAM mempunyai pasukan khas dalam menjayakan misi bantuan bencana seperti ini dan sememangnya terlatih serta mempunyai kepakaran khusus bencana,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 tahun 2013 di Batu 1 Jalan Pantai, di sini, semalam.

Sulaiman berkata, persediaan untuk misi bantuan ke mana-mana kawasan di Sabah dan Sarawak terutama yang bersempadan dengan Filipina juga dilakukan.

“Ini berikutan wujud jangkaan dan kemungkinan ada kawasan di Sabah dan Sarawak yang akan terkena tempias badai Taufan Haiyan.

“JPAM juga sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk memberi bantuan dalam menghadapi keadaan musim tengkujuh yang dihadapi di beberapa negeri,” katanya.

Katanya, setiap tahun pihaknya berhadapan dengan bencana itu dan sudah mempunyai perancangan gerak kerja yang baik selain berganding bahu dengan agensi penyelamat lain seperti polis, bomba, tentera termasuk Jabatan Meteorologi, Jabatan Perparitan dan Saliran serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 tahun 2013 menyaksikan Ketua Platun Kontinjen Selagor, Sarjan (Pertahanan Awam), Gumaah Abd Rasul dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");