Membawang Hari Ini

Beyonce gegar Perth Arena

beyonce

Seantero dunia mengimpikan untuk bertemu diva paling disanjung ini. Biarpun kebarangkalian untuk mendapat peluang itu hanya angan-angan, tetapi dapat hadir menonton sendiri aksinya di pentas secara langsung umpama mimpi menjadi kenyataan.

Beliau ibarat dewi yang sempurna berikutan impak luar biasanya dalam melakar kejayaan pada muzik, fesyen, lakonan, duta pelbagai organisasi, menjadi ibu dan sebagai manusia sendiri, malah dia masih tersenarai sebagai wanita bertubuh sempurna di seluruh dunia.

Semua sememangnya mengenali BeyoncÈ Giselle Knowles-Carter, 32, nama yang seakan tidak pernah surut diperkatakan. Pemenang 17 trofi Grammy itu menjadi inspirasi kepada jutaan penduduk dunia biar di pelusuk mana pun.

Ini dibuktikan dalam konsert jelajah dunia The Mrs Carter Show di Perth Arena, Perth, Australia, Jumaat lalu. Arena dengan kapasiti 15,000 penonton itu sendat dengan peminat Beyonce dan tiket konsert berkenaan habis dijual sekali gus menjadikannya sebagai artis paling laris di benua Australia.

Sesiapa pun tidak mahu melepaskan peluang menonton konsert demikian kerana yang pasti, bukan saja tidak pulang dengan kehampaan, semestinya sukar melupakan kehebatan diva berkenaan menakluk pentas secara luar biasa.

Berpeluang sendiri menonton Beyonce pada malam itu, sukar terungkap pengalaman mendengar secara langsung nyanyian hebatnya jika ditolak persembahan serta pentas gah tempatnya beraksi, memang menusuk sanubari.

Mempersembahkan rangkaian lagu daripada rancak ke perlahan, tidak sedikit pun tergugat tenaganya melontar vokal mengagumkan di hadapan puluhan ribu yang bersorak kegilaan buatnya.

Sudah biasa disajikan pentas hebat menerusi konsert lain barangkali, sesuatu yang istimewa pada Beyonce sendiri tidak lain tidak bukan aura penghibur pada dirinya sukar ditandingi dan sangat menyentuh.

Tidak lama pun, hanya sejam setengah, bagaimanapun sudah cukup buat penonton hanyut menonton kelincahan, keanggunan dan garang Beyonce menguasai setiap inci persembahannya.

Setia menanti penuh sabar kemunculannya, tirai konsert yang dibuka penyanyi bekas pemenang Australian Idol, Stan Walker itu lantas bergema tatkala tepat jam 9.45 malam, kelibatnya muncul melagukan single paling hit Run The World (Girls).

Agak memeranjatkan juga lagu berkenaan dinyanyikan terlalu awal namun siapa peduli, penonton yang duduk terus bangkit mengikut rentak lagu berdansa bagai nak rak maklum saja lagu ‘pembunuh’.

Berbekalkan sistem pencahayaan, sistem LED, bunga api dan serba bergemerlapan, turut dibina sebuah pentas kedua berbentuk bulat di mana Beyonce ‘terbang’ dari pentas utama ke sana menggunakan wayar zip sebelum menyanyikan lagu Irreplaceable dan Love On Top.

Sempat bersalaman dengan barisan penonton VVIP di bahagian itu, Beyonce kemudian menunjukkan keprihatinannya memberikan mikrofon kepada seorang gadis buta menyanyikan bersama lagu Irreplaceable.

Menyusul dengan lagu hit bersama Destiny’s Child iaitu Survivor, dia ‘terbang’ semula ke pentas utama sambil bernyanyi tanpa sedikit pun terjejas vokalnya.

Membuat penampilan khas, selain penari wajib yang mengiringinya sepanjang persembahan, kemunculan penari kembar tersohor Les Twins juga tidak ketinggalan menggamatkan suasana dengan tarian nakal di samping beliau.

Adrenalin terus bergetar pabila lagu keramatnya Crazy In Love didendangkan pula sebelum tampil bertenaga menerusi lagu khas buat wanita bujang Single Ladies di mana bahang malam itu semakin membara dengan sorakan gempita.

Sepertinya terlalu singkat sangat, Beyonce menutup persembahannya itu dengan ‘tribute’ ringkas membuka rangkap lagu Halo dengan mengalunkan I Will Always Love You nyanyian mendiang Whitney Houston dan kemudiannya membuai penonton menerusi vokal hebatnya.

Banyak lagu hit tidak dinyanyikan

Selain lagu yang menuntutnya menari rancak dan bertenaga, sesuai dengan penampilan seksinya, karakter berkenaan turut disalurkan menerusi lagu Baby Boy, Get Me Bodied dan Naughty Boy serta lagu lain termasuklah End of Time, If I Were A Boy, Diva, Party dan 1+1.

Bagi peminat tegar yang sudah sebati mengikuti karyanya tentu pasti mengharapkan diva itu mendendangkan lagu seperti Listen, Sweet Dreams, I Was Here dan Best Thing I Never Had namun nampaknya kekangan masa meranapkan impian penonton itu.

Seperkara yang jelas, mungkin disebabkan persembahan tidak henti-henti di mana sebelum ini beliau sudah pun berkunjung ke merata Australia dan sudah membuat 90 per­sembahan sebelumnya, dia kelihatan letih.

Bagaimanapun, bukan penyebab buatnya untuk mengecewakan penonton yang memenuhi arena itu, tiada cacat-cela pun konsert malam itu.

Sementara itu, diterbangkan khas ke Perth bagi menyaksikan konsert berkenaan, seramai 10 peminat bertuah hasil kemena­ngan menerusi peraduan yang dianjurkan PepsiCo Malaysia terhibur dengan persembahan Beyonce.

Dilangsungkan sejak Jun lalu, lima pemenang bersama pasa­ngan masing-masing serta wakil media dipilih untuk mengikuti rombongan yang ditaja penuh syarikat berkenaan selain berkesempatan mengambil angin di kota berkenaan.

(Penulis membuat liputan konsert Beyonce; The Mrs Carter Show World Tour di Perth Arena, Perth, Australia, baru-baru ini).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");