Jenayah

Bomoh tipu pesakit didenda RM2,000

jenayah

PETALING JAYA – Seorang bomoh hari ini didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menipu seorang pesakitnya, tujuh tahun lepas.

Majistret, Mohd Nazri Omran menjatuhi hukuman itu terhadap Raja Mohd Suhaimi Raja Abu Bakar, 50, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan itu.

Raja Mohd Suhaimi, yang juga seorang peniaga, membayar denda itu.

Dia didakwa menipu Habibah Mat Yit, 56, yang juga seorang pegawai khidmat pelanggan, supaya menyerahkan wang berjumlah RM25,500 dengan menunjukkan geran tanah untuk dijual di Jalan Dinar UF3/F, Seksyen U3, Shah Alam, dekat sini antara 6  hingga 13 Jun 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa berubat dengan bomoh itu kerana mendakwa diganggu makhluk halus.

Pada  masa sama, bomoh itu meminta bantuan kewangan daripada mangsa kerana ingin menyelesaikan hutang ceti dan berjanji membayar balik setelah mendapat wang daripada jualan tanahnya.

Mangsa yang mengeluarkan duit simpanan Tabung Haji, meminjam duit daripada keluarga dan Bank Rakyat menyedari dirinya ditipu apabila bomoh itu menghilangkan diri.

Terdahulu, peguam bela, Ester Tan Siew Choo memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya telah mengaku bersalah, insaf dan memohon maaf kepada mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");