Membawang Hari Ini

Carefree yakin masih relevan

carefree

KUMPULAN Carefree yang popular sekitar tahun 70-an dan 80-an dengan lagu seperti Rindu Bayangan serta Belaian Jiwa, kini kembali dengan album terbaharu selepas 30 tahun menyepi tanpa sebarang album.

Tidak lagi bersama vokalis asalnya, Jay Jay, satu-satunya anggota asal kumpulan itu ialah Simon Justin Leo (gitar/vokal). Selebihnya, dianggotai oleh ahli-ahli baharu, iaitu Hadi Hassan (bass/vokal) yang menggantikan Jay Jay, Zack (keyboard/vokal), Reeyan (drum/vokal) dan Hizey (keyboard/vokal).

Menurut Hadi, mereka sangat bersyukur selepas setahun akhirnya album Bersama Carefree yang dibikin dengan kos RM100,000 dapat bertemu peminat.

“Bukan mudah untuk menghasilkan album ini kerana ia memakan masa yang agak lama. Kami semua tahu harapan peminat terhadap album ini sangat tinggi sebab sudah terlalu lama Carefree tidak menghasilkan album.

“Justeru, selepas berbincang dan memerah otak, inilah hasilnya dan kami semua berpuas hati kerana album ini tidak menggunakan komposer luar, sebaliknya hasil usaha kami sendiri,” kata Hadi yang ditemui pada majlis pelancaran album Bersama Carefree di Wisma Bentley Music, Damansara, Selangor baru-baru ini.

Sungguhpun kumpulan Carefree merupakan kumpulan lama, tetapi mereka yakin muzik bawaan Carefree masih relevan pada masa kini.

“Memang Carefree kumpulan lama, tetapi saya yakin dengan lagu-lagu baru kami mampu bersaing dengan penyanyi sedia ada.

“Tambahan, terdapat anggota Carefree yang muda. Jika mereka boleh menerima muzik yang kami bawakan, maknanya orang muda di luar sana juga dapat menerima muzik kami,” ujar Hadi tentang album yang diterbitkan oleh Dream Music Sdn. Bhd. itu.

Disoal mungkinkah terdapat pertelingkahan antara anggota asal Carefree sehingga memaksa mereka mengambil anggota baharu, mereka menafikan perkara tersebut berlaku.

Simon menegaskan kumpulan Carefree tidak pernah berpecah dan tiada sebarang masalah yang timbul antara anggota asal kumpulan itu.

CAREFREE kini muncul dengan sebuah album studio baharu yang diberi judul Bersama Carefree.

“Kami tidak bergaduh dan kami tidak pernah berpecah. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah kerana masing-masing mempunyai komitmen terhadap bidang lain seperti perniagaan dan Jay Jay sudah bergerak solo.

“Selain itu, ada beberapa anggota menghadapi masalah kesihatan dan mereka tidak lagi mampu untuk mengadakan persembahan pentas dalam tempoh yang panjang.

“Apa yang kami lakukan sekarang ialah mengambil anggota baharu dan menghasilkan album terbaharu dan ia mendapat restu semua anggota asal Carefree. Mereka tidak mahu kerana komitmen masing-masing perjalanan kumpulan ini terjejas,” jelas Simon.

Hadi pula menambah, kumpulan Carefree pada mulanya bergabung pada tahun 2009 untuk konsert bersama kumpulan Black Dog Bone. Bagaimanapun persembahan itu terbatal kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja yang lain.

“Sejak itu, anggota asal Carefree tidak kisah andai kami bergerak tanpa mereka, bahkan mereka juga rasa bersalah kerana komitmen mereka, persembahan terpaksa dibatalkan.

“Namun, jika mereka ada masa terluang, mereka akan menyertai kami dalam persembahan tertentu. Penambahan ahli baharu tidak bermakna kami membuang ahli yang lama,” terang Hadi.

Ujar Simon, mereka sendiri tidak tahu berapa lama mereka akan meneruskan perjuangan bersama Carefree sebelum meninggalkan terus dunia seni.

“Mungkin empat atau lima tahun lagi kami masih aktif bermain muzik. Sebelum meninggalkan dunia seni, kami mahu menghasilkan sesuatu yang terbaik dan bermakna seperti album terbaharu ini,” kata Simon.

Album Bersama Carefree yang mengandungi tujuh buah lagu iaitu Bersama Carefree, Hanya Aku, Biarkan Aku Sendiri, Blues Isteri Lari, Find It In Your Heart, Hati Batu dan Hey DJ telah berada di pasaran dengan harga RM19.90.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");