Berita Hari Ini
Like

Cari rahsia batu ukiran naga

November 3, 2013
274 Views
0 Comments
2 minutes read
Cari rahsia batu ukiran naga

BATU UKIRAN NAGA

KUANTAN – Seorang pemilik batu berukiran naga yang ditemui di dasar Sungai Ular, dekat sini mencari pakar barang lama dan batu jed untuk mengesahkan sama ada ukiran batu itu artifak bernilai tinggi atau sebaliknya.

Pemiliknya, Noor Khaizulra Mohamed Noor, 36 dari Kampung Sungai Ular, Jalan Kuantan – Kemaman berkata, ada yang mendakwa, batu seberat kira-kira lima kilogram itu sebagai barang lama dan bernilai tinggi namun setakat ini belum ada pihak dapat mengesahkannya.

Menurutnya, dia menemui batu tersebut secara tidak sengaja ketika pergi memancing di sungai itu kira-kira dua bulan lalu.

“Ukiran naga dipercayai diperbuat daripada batu jed itu terlekat pada mata pancing.

“Pada mulanya saya sangka ikan besar namun selepas ditarik ke tebing mendapati ia sebongkah batu yang diselaputi lumpur,” katanya.

Noor Khaizuira berkata, selepas dibersihkan, batu itu berbentuk ukiran naga dan mengalami kerosakan kecil pada beberapa bahagiannya.

“Selepas hampir dua bulan, saya dapati beberapa corak terbentuk pada patung itu.

“Asalnya ukiran itu berwarna hijau pucat dan kosong namun kini warnanya agak berubah dengan corak lebih menarik,” katanya.

Dia berkata, batu itu juga didapati menyerap air dan air lebihannya bertukar merah jambu.

“Saya ada menemui beberapa individu berketurunan Cina untuk mendapatkan kepastian dan mereka mendakwa, patung naga itu barang lama yang dikaitkan dengan rezeki.

“Setakat ini ada pihak bersedia membeli dengan harga agak tinggi namun saya belum bersedia untuk melepaskannya sehingga mengetahui rahsia sebenar ukiran tersebut,” katanya.

Dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan menjual ukiran itu sekiranya ada pihak yang berminat dengan harga yang sesuai.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply