Berita Hari Ini

Dari tepi jalan raya ke antarabangsa

KEROPOK

SETELAH mendapati beberapa perniagaan yang dijalankannya sebelum itu tidak memberi hasil memberangsangkan, anak jati Langkawi, Kedah, Nordin Hashim, 50 nekad menjual keropok lekor di tepi jalan raya untuk menambah pendapatan keluarganya.

Tanpa menoleh ke belakang, Nordin yang kini Pengarah Urusan Industri Keropok Dunia, memulakan perniagaan ketika zaman kegawatan ekonomi sekitar 1997.

Beliau memulakan perniagaan bermodalkan RM145 untuk membeli payung, kuali, minyak, gas dan bahan mentah dari Terengganu serta memulakan perniagaan di bawah pokok berhampiran rumahnya di Kampung Lindungan Sungai Way, Selangor.

“Pada hari pertama, saya memperoleh keuntungan RM20 setelah menjual 30 batang keropok lekor. Alhamdulillah, saya yakin, sekiranya kita ikhlas untuk mencari rezeki, ALLAH tidak akan menghampakan hambaNya,” katanya yang merupakan bekas jurutera.

Menurutnya, sejak itu, dari sehari ke sehari permintaan keropok lekor semakin tinggi dan selepas tiga bulan, beliau mula menjual keropok lekor di pasar malam sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang menyaksikan permintaan meningkat sehingga 1,000 batang keropok lekor setiap hari.

“Setelah dua tahun berniaga, saya berjaya menjual 5,000 batang keropok lekor sehari. Ini menimbulkan masalah kepada saya kerana pembekal di Terengganu tidak dapat memenuhi permintaan saya. Kalau saya pesan 5,000 batang keropok lekor, saya hanya mendapat 2,000 hingga 4,000 sahaja,” katanya yang memiliki lima cahaya mata.
Nordin berkata, beliau tahu masalah bekalan tidak mencukupi perlu diselesaikan segera kerana permintaan terhadap keropok lekor semakin tinggi.

“Untuk atasi masalah bekalan, saya ikuti kursus menghasilkan keropok lekor dan bebola ikan di Jabatan Perikanan Terengganu pada April 2004. Setelah kursus tamat, saya mengusahakan keropok lekor di rumah sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, akur dengan peraturan pihak berkuasa tempatan yang tidak membenarkan perniagaan di kawasan perumahan, beliau memohon kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk mendapatkan tapak perniagaan.

“Alhamdulillah, tidak sampai tiga bulan, saya mendapat premis memproses keropok lekor di sini.

“Saya berhenti kerja dan melaburkan sebanyak RM98,000 untuk mengembangkan perniagaan,” katanya semasa ditemui di kilang Industri Keropok Dunia di Shah Alam, Selangor.

Nordin juga mendapat bantuan Mara sebanyak RM30,000 untuk pembungkusan dan Jabatan Perikanan turut memperuntukkan RM300,000 untuk mesin pemprosesan keropok lekor.

Perniagaan semakin maju

“Saya menjadi pembekal keropok lekor jenama Noba kepada beberapa pasar raya dan restoran seperti NSK, Old Town White Coffee, Ayamas seluruh Malaysia. Saya juga jadi pembekal kepada peniaga-peniaga kecil di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

“Noba juga boleh didapati di pasar raya besar seperti Giant, Mydin, Aneka, Yawata dan Bilion seluruh Malaysia,” katanya.

Tambahnya, beliau membuat promosi sendiri dan tidak malu untuk turun padang berniaga di pasar malam dan menggoreng keropok lekor walaupun beliau adalah majikan kepada 58 pekerja.

“Industri Keropok Dunia mempunyai dua kilang iaitu di Shah Alam yang membuat keropok lekor dan di Ipoh pula kami menghasilkan pelbagai produk berasaskan isi ikan seperti popia, bebola goreng, bebola ikan dan sos pencicah,” katanya yang dibantu anaknya, Mohd Sadri Nordin untuk operasi kilang.

Nordin berkata, produk Noba yang kini berada di pasaran ialah keropok lekor, popia, otak-otak mini, kulit popia, keropok lekor lembut dan keropok nipis.

Hasilkan lebih satu tan keropok lekor

Kini, Nordin mampu tersenyum kerana perniagaannya semakin maju.

“Hari ini, saya menghasilkan lebih 1000 kilogram keropok lekor dan mendapatkan bekalan satu tan isi ikan sehari dari Perak. Saya mendapatkan bahan mentah daripada pembekal terpilih.

“Saya memastikan pembekal menyiang dan membersihkan semua ikan seperti yang dikehendaki,” katanya.

Nordin juga mendapat pelbagai anugerah seperti Anugerah Peladang Jaya Lelaki Daerah Petaling Jaya 2006, Anugerah Pemprosesan Jaya Negeri Selangor 2006 dan selain namanya tercatat dalam buku Kisah Kejayaan 50 Usahawan Bimbingan Mardi bagi Industri Makanan.

Nordin berkata, produk Noba juga kini ke luar negara antaranya di Brunei, Singapura dan China.

“Noba juga akan menembusi pasaran Dubai dalam masa terdekat. Saya juga merancang meluaskan pasaran ke negara lain,” katanya.

Belajar dari kesilapan

Menurutnya, kerugian adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan kerana ia mengajar usahawan berusaha lebih keras dan tidak berputus asa serta memupuk sifat sabar.

Nordin mengakui kerana terlalu percayakan pelanggannya, beliau pernah menghadapi masalah untuk mendapatkan bayaran selepas penghantaran bekalan keropok lekor dibuat.

“Saya belajar dari kesilapan itu. Sejak itu, saya menjalankan perniagaan dan bayaran secara tunai. Pelanggan perlu membayar tunai selepas mendapat bekalan daripada saya,” katanya.

Ditanya nasihatnya kepada usahawan lain, beliau berkata untuk memulakan perniagaan, usahawan perlu bijak mencari pasaran.

“Jika tiada pasaran, kita tidak akan kekal dalam perniagaan. Apabila kita mempunyai pasaran, insya-Allah, kita boleh menghasilkan produk dan akan memberikan keuntungan.

“Selain itu, kalau kita ikhlas, jujur dan tidak berputus asa, kita akan berjaya. Kejayaan kita pula perlu dikongsi dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Walaupun jenama Noba telah menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa, Nordin mempunyai rancangan lain untuk mengembangkan empayar perniagaannya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");