Isu Panas

Dewan Rakyat gantung Surendran enam bulan

nsurendranAhli Parlimen Padang Serai, N Surendran (gambar) digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat atas kesalahan menghina Speaker Dewan dan menghina Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee hari ini selepas usul berkenaan penggantungan Naib Presiden PKR itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri.

Usul berkenaan bagaimanapun diluluskan tanpa dibahaskan selepas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar membawa usul belah bahagi selepas lebih sejam sidang Dewan Rakyat terganggu apabila ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) membantah usul berkenaan.

Seramai 92 ahli Parlimen menyokong usul berkenaan, manakala selebihnya tidak mengundi.

Ketika usul berkenaan dibacakan, ahli Parlimen pembangkang turut mengoyakkan kertas pemberitahuan usul tersebut, malah ada yang menjadikannya origami roket.

Mereka turut menjerit “usul haram” dan “tarik balik” usul berkenaan berulang kali sambil menepuk meja.

Antara yang bangun menyokong Surendran adalah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu dengan pemberita selepas itu membantah keputusan berkenaan dan mendakwa Parlimen diperalatkan dan ia adalah cara Umno dan Barisan Nasional (BN) mengendalikan Parlimen.

“Saya membantah Parlimen diperalatkan kerana tidak ikut peraturan Dewan. Tafsiran speaker cukup jelas. Ikut waktu usul dikemukakan. Tetapi ia dikecualikan.

“Adakah dengan mudah kita boleh gantung seorang ahli Parlimen kerana ceritanya tidak disenangi. Siasatan tidak dilakukan.
Inilah cara Umno kendalikan Parlimen dengan memperbodohkan sistem kita,” kata Anwar.

Pada Selasa, Surendran dihalau keluar Dewan selepas bertikam lidah dengan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berpunca daripada membangkitkan usul berkaitan perobohan kuil.

Beliau turut dihalau hari ini selepas memasuki Dewan Rakyat.

– THE MALAYSIAN INSIDER

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");